Tolak rasuah, tingkat imej penjawat awam

No Image Caption
A
A
A

AKHBAR ini semalam mendedahkan separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam sepanjang enam tahun lalu.

Daripada 5,652 tangkapan yang dibuat oleh Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari tahun 2015 hingga 2020, sebanyak 2,683 atau 47.5 peratus adalah terdiri daripada penjawat awam.

Budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam di negara ini ibarat barah yang dibimbangi akan merosakkan institusi kerajaan secara perlahan.

Bak peribahasa ‘seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit’, itulah ibarat bagaimana budaya rasuah dan salah laku segelintir penjawat awam, mencemarkan dan merosakkan imej institusi kerajaan.

Keadaan itu juga menyebabkan Malaysia jatuh ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) minggu lalu yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) untuk tahun 2020. Pada tahun 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-51.

Masalah rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini dilihat sangat serius berbanding dengan 10 tahun dahulu. Malah semakin menular seperti pandemik. Kita perlu bersatu untuk memutuskan rantaiannya.

Antara faktor mendorong gejala rasuah adalah apabila transaksi ekonomi semakin meningkat berikutan negara yang sedang membangun.

Pembabitan dalam kegiatan rasuah pula biasanya berlaku apabila sudah berkhidmat lama dan mulai mahir dengan tugas mereka.

Artikel Berkaitan:

Melalui Gerakan Sinar Rasuah Busters, rakyat diharap menjadi mata dan telinga serta mempunyai keberanian untuk melaporkan salah laku rasuah kepada pihak berkuasa dengan hashtag #NilaiMoralKarakterBangsa.

Pada masa sama, penjawat awam perlu melaporkan kes rasuah dan salah guna kepada SPRM tanpa sebarang ragu-ragu terutamanya sekiranya ada yang ‘hidup mewah dan melebihi pendapatan sebenar’.

Organisasi juga perlu memberi sokongan dan perlindungan kepada kakitangan atau pegawai yang melaporkan kes rasuah supaya budaya bebas rasuah ini dapat dicantas di semua peringkat.