Penipuan SMS makin aktif

PDRM mendedahkan kegiatan penipuan menggunakan SMS yang dikesan mula kembali aktif. Gambar hiasan
PDRM mendedahkan kegiatan penipuan menggunakan SMS yang dikesan mula kembali aktif. Gambar hiasan
A
A
A

BARU-baru ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kegiatan penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikesan mula kembali aktif.

Mana tidaknya berdasarkan kes yang dilaporkan sejak 1 Januari lalu, ada 18 kes direkodkan babit kerugian RM229,868.

Di sini, masyarakat amat perlu cakna dan peka dengan sebarang bentuk taktik penipuan yang cuba menjerat mangsa.

Jika kebiasaannya, sindiket penipuan menjerat mangsa melalui panggilan telefon atau Macau Scam menyamar sebagai pegawai polis, bank atau penguat kuasa lain kononnya mangsa ada lakukan kesalahan dan diminta serah butiran perbankan.

Namun, sedikit berbeza dengan penipuan SMS ini, mangsa dilaporkan menerima SMS kononnya daripada syarikat telekomunikasi terkenal seperti Maxis, Celcom dan Digi.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Seri Ramli Mohamed Yoosuf, kandungan SMS tersebut menyatakan mangsa mempunyai mata ganjaran yang bakal tamat tempoh dan digesa untuk segera menebus mata ganjaran tersebut melalui pautan yang disertakan.

Mangsa yang menekan pautan tersebut akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan atas talian milik mereka termasuklah nombor OTP yang diterima.

Mangsa kemudiannya akan mendapati wang daripada akaun bank mereka berkurangan.

Artikel Berkaitan:

Harus diingat, PDRM sering kali berpesan agar berwaspada dengan sebarang tawaran yang menawarkan keuntungan atau pulangan tertentu.

Jenayah kewangan melibatkan penipuan atas talian yang dikendalikan oleh JSJK menggariskan tujuh bentuk jenayah utama iaitu belian atas talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau Scam, African Scam, pintasan emel dan penipuan SMS.

Kesedaran berkaitan jenayah penipuan ini seharusnya dimulakan sejak peringkat awal termasuk di peringkat sekolah rendah bagi membina satu benteng kesedaran yang kukuh berkaitannya.

Masyarakat juga perlu cakna dengan sebarang platform aduan yang wujud bagi masyarakat bertanya, merujuk atau seumpamanya berkait isu scam.

Untuk info, jika anda merupakan mangsa penipuan dalam talian, hubungi segera hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi bantuan lanjut.

Hotline ini beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam pada setiap hari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!