Jangan senang-senang beri status tahanan rumah

Ketika ini ada kira-kira 80,000 banduan ditempatkan di 43 penjara seluruh negara. Foto hiasan.
Ketika ini ada kira-kira 80,000 banduan ditempatkan di 43 penjara seluruh negara. Foto hiasan.
A
A
A

DAKWAAN Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai wujud Titah Adendum pada pengampunan diraja yang membenarkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun di rumah bukan sahaja telah mencetuskan persoalan siapa yang tidak bercakap benar dalam hal tersebut, malah membangkitkan perdebatan mengenai kewajaran banduan-banduan di negara ini menjalani hukuman di rumah.

Buat masa ini, Malaysia belum mempunyai undang-undang yang membenarkan tahanan rumah.

Namun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini berkata, kerajaan secara prinsip bersetuju untuk melaksanakan program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah sebagai usaha mengurangkan kesesakan di penjara.

Katanya, penghuni penjara yang mungkin terbabit dalam program itu ialah individu yang berpenyakit kronik, warga emas, orang kurang upaya dan ibu mengandung.

Mereka juga akan dipakaikan peranti pemantauan elektronik yang tidak memerlukan pegawai penjara membuat kawalan di rumah.

Ketika ini ada kira-kira 80,000 banduan ditempatkan di 43 penjara seluruh negara dengan kadar nisbah 244 banduan bagi 100,000 penduduk.

Jumlah itu melebihi piawaian antarabangsa iaitu 145 banduan bagi 100,000 penduduk.

Bagaimanapun, kerajaan haruslah berhati-hati dalam melaksanakan dasar baharu ini supaya masyarakat tidak berasa terancam.

Artikel Berkaitan:

Siapa yang boleh hidup tenang jika mengetahui tahanan rumah di kejiranan mereka adalah penjenayah kes berat seperti bunuh dan rogol?

Justeru, pelaksanaannya haruslah disasarkan khusus untuk kategori banduan tertentu dan perlu ada panel yang menilainya.

Janganlah senang-senang diberi status tahanan rumah.

Tahanan rumah merupakan alternatif kepada hukuman pemenjaraan di dalam tirai besi.

Malaysia sebelum ini telah melaksanakan sistem parol, yang juga salah satu hukuman di luar penjara sejak 2008.

Banyak negara telah melaksanakan program tahanan rumah termasuk Australia.

Ramai juga pemimpin luar negara yang pernah dan sedang menjalani hukuman itu seperti pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Kalaulah benar Najib akhirnya nanti akan menjadi tahanan rumah, kerajaan harus mempercepat pelaksanaan PBSL dengan menggubal undang-undang khusus supaya tidak timbul isu dua darjat.

Kalau Najib dapat, kenapa banduan lain tidak?

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28