Segerakan undang-undang sekat manipulasi AI

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

NAMPAKNYA pemimpin politik di negara jiran kita iaitu Singapura sudah menjadi mangsa manipulasi kecerdasan buatan (AI) apabila teknik deepfake telah digunakan untuk memburukkan imej mereka.

Beberapa Ahli Parlimen Singapura dilaporkan telah menerima surat peras ugut dengan gambar yang tidak senonoh.

Mereka adalah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Ahli Parlimen GRC Jurong, Dr Tan Wu Meng dan Ahli Parlimen GRC Holland-Bukit Timah, Edward Chia yang turut menerbitkan kenyataan pada 20 April lalu berkenaan kejadian tersebut dan telah membuat laporan polis.

Sementera itu, Chia berkata, beliau telah menerima foto yang tidak menyenangkan di mana wajahnya telah dimanipulasi secara digital, disertai dengan peras ugut.

Wu Meng yang turut membuat laporan kepada pihak berkuasa berkata, polis sedang menyiasat kejadian tersebut.

Pada 19 April, The Straits Times melaporkan lebih 70 rakyat Singapura menerima surat peras ugut yang mengandungi gambar lucah mereka yang diubah pada Mac dan April lalu.

Polis berkata, surat itu dihantar ke tempat kerja penerima dan penjenayah memberi amaran mengenai akibatnya jika mereka tidak menghubungi alamat e-mel yang diberikan pengugut itu.

Deepfake adalah satu teknik untuk merubah rupa paras pada gambar, video ataupun menggunakan gambar asli menggunakan kaedah menindan wajah.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, jenayah itu menggemparkan Amerika Syarikat apabila Taylor Swift telah menjadi mangsa.

Manipulasi itu juga boleh dilakukan melibatkan audio apabila sebelum ini artis Siti Nurhaliza dan Aaron Aziz telah menjadi mangsa.

Suara mereka telah digunakan dalam platform jualan cadar dan seluar dalam lelaki.

Ada yang percaya dan membeli produk berkenaan.

Daripada apa yang berlaku, risiko kepada pemimpin dan rakyat Malaysia untuk berdepan ancaman deepfake adalah tinggi sekali.

Tambahan pula Malaysia berkongsi kedudukan dengan Filipina berada di tangga kedua bagi negara di dunia yang paling banyak menggunakan platform media sosial di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Oleh itu, satu undang-undang menghalang manipulasi ini perlu diwujudkan dengan segera sebelum keadaan menjadi tidak terkawal hingga mengundang pelbagai masalah lain.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28