X

Kindly register in order to view this article
!

Tarik cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara

PHSKLU desak cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara ditarik segera selari dengan bantahan yang jelas daripada rakyat Selangor.
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) mendesak kerajaan negeri Selangor menarik semula cadangan penyahwartaan hutan simpan itu dalam kadar segera.

PHSKLU dalam satu kenyataan berkata, pihaknya diwakili 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk sesi perbincangan mengenai hal tersebut.

Menurutnya, penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara itu ditolak masyarakat berdasarkan saluran bantahan umum dan Usul No.26 yang diluluskan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 11 November lalu.

"Usul berkenaan bertujuan untuk melindungi semua hutan simpan yang diwartakan di Selangor untuk memastikan pemuliharaan dan perlindungan kawasan tadahan air dan kawasan hutan.

"Oleh kerana tiada bantahan daripada mana-mana perwakilan DUN, maka dapat disimpulkan bahawa usul ini mencerminkan hasrat rakyat Selangor. Mereka tak mahu ada lagi penyahwartaan hutan simpan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kenyataan turut menyebut, jumlah bantahan umum dalam talian mencapai 129,034 tandatangan, antaranya 46,114 bantahan di bawah 'Rakyat Malaysia yang prihatin' dan 31,035 tandatangan melalui Gabungan Perlindungan Hutan Selangor.

"Kami berpendapat bahawa bantahan-bantahan ini adalah relevan dan mencerminkan bantahan umum terhadap cadangan penyahwartaan ini.

"Kami juga telah menjalankan kempen e-mel yang dihoskan di laman web Greenpeace. Ia mencapai 1,500 e-mel dalam masa dua minggu pada 29 Oktober hingga 11 November lalu daripada orang ramai kepada wakil-wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), " katanya.

Katanya, isu sama juga menarik kira-kira 200 orang asli dari beberapa kampung mengadakan demonstrasi aman dan serahan memorandum bantahan di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di sini pada 26 Februari lalu.

Justeru, beliau berkata, selari dengan bantahan yang jelas daripada orang ramai dan rakyat Selangor, PHSKLU mendesak cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara itu ditarik segera.

Terdahulu, cadangan pemansuhan hutan simpan itu dilakukan susulan 40 peratus kawasan seluas 931.1 hektar itu telah menjadi hutan rosot yang tiada lagi elemen hutan dara disebabkan kebakaran dan pencerobohan.

Isu tersebut turut mendapat reaksi daripada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta kerajaan negeri Selangor terus mengekalkan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara bagi memastikan kelestarian alam di negeri itu terus terpelihara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kawasan baharu ganti Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Cadangan nyahgazet hutan simpan Kuala Langat Utara dibantah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!