X

Kindly register in order to view this article
!

Kawasan baharu ganti Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Amirudin (dua dari kanan) menunjukkan beberapa penggantian Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang dicadang untuk dinyahgazet susulan status 40 kawasan itu telah rosak.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang dalam proses penilaian dan membuka ruang pandangan umum berhubung cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara hingga 5 Mac ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, belum ada sebarang keputusan berhubung perkara itu kerana masih di peringkat awal 'premature' sebelum diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menurutnya, cadangan pemansuhan hutan simpan itu dilakukan susulan 40 peratus kawasan seluas 931.1 hektar itu telah menjadi hutan rosot yang tiada lagi elemen hutan dara disebabkan kebakaran dan pencerobohan.

"Cadangan yang dikemukakan telah mengambil kira proses nyahgazet akan diikuti dengan penggantian kawasan baru yang jumlahnya menyamai atau lebih dari keluasan hutan yang diambil.

"Apabila ada teguran yang mengatakan nyahgazet ini bertentangan dengan hasrat kerajaan negeri dan Pusat dalam pengekalan hutan simpan, tuduhan itu adalah terpesong dan gagal difahami oleh mereka," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Amirudin (dua dari kanan) pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Amirudin (dua dari kanan) pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Amirudin berkata, cadangan gantian hutan itu melibatkan beberapa kawasan termasuk Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor dengan anggaran lebihan 121 hektar dari keluasan asal.

"Antaranya di Sabak Bernam melibatkan Sungai Panjang (308.62 hektar) dan Sungai Panjang 2 (606.88 hektar) diikuti Taman Alam Kuala Selangor dan Ampang Pechah Hulu Selangor (190.28 hektar).

"Kesemua kawasan ini dalam proses digazetkan untuk meluaskan kawasan hutan simpan. Daripada empat kawasan ini, kerajaan negeri akan pilih tiga yang terbaik untuk tujuan penggantian itu. Dalam masa sama hutan gambut dan ekosistem turut dipelihara," katanya.

Beliau berkata, kawasan nyahgazet itu tidak melibatkan empat perkampungan orang asli sementara isu perkuburan orang Temuan akan dipertimbang selepas tamat proses bantahan.

"Pendirian kerajaan negeri akan diputuskan selepas selesai laporan teknikal. Selangor adalah negeri pertama yang mengadakan pendengaran awam berkaitan penggazetan hutan sejak tahun 2014.

"Saya bukan nak jadi menteri besar yang mengurangkan kawasan hutan simpan. Itu janji saya malah jumlahnya semakin bertambah saban tahun," katanya.

Terdahulu Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar menyuarakan bantahan terhadap cadangan nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang bertentangan dengan hasrat kerajaan Pusat memelihara hutan simpan.

Bantahan turut disuarakan oleh Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) susulan hutan itu kaya dengan sumber biodiversiti unik termasuk spesies Tupai Pygmy yang hanya boleh ditemui di sana.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Selangor jangan gopoh, pesan Otai Reformis 98


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!