Gantung Parlimen, DUN elak tindakan jatuhkan ahli politik

 Shamrahayu Ab Aziz
Shamrahayu Ab Aziz
A
A
A

SHAH ALAM – Pengisytiharan darurat yang diumumkan baru-baru ini yang membolehkan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung dilihat mempunyai sebab tersendiri.

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, ia bertujuan supaya tidak ada tindakan daripada ahli politik yang menjatuhkan antara satu sama lain.

“Atau menggunakan mekanisme di bawah tiket demokrasi, bawah tiket peruntukan perlembagaan untuk bertelagah antara satu sama lain.

“Ini yang saya fikir dalam konteks tanggungjawab ahli Dewan Rakyat itu tidak terhenti,” katanya pada Wacana al-Quran Siri ke-70 bertajuk Darurat: Mandat Buat Rakyat? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.

Program itu turut menampilkan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor sebagai panelis; Ketua Penyelidik Yayasan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari My #Qurantime, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan bacaan surah Yusuf ayat 47-49.

Dari kiri: Fazrul, Muhamad Nadzri, Shamrahayu dan Ahmad Tarmizi pada Wacana al-Quran Siri ke-70 bertajuk Darurat: Mandat Buat Rakyat? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.
Dari kiri: Fazrul, Muhamad Nadzri, Shamrahayu dan Ahmad Tarmizi pada Wacana al-Quran Siri ke-70 bertajuk Darurat: Mandat Buat Rakyat? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Fadhil, Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi membentuk satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkait

Yang di-Pertuan Agong pada 26 Oktober tahun lalu turut memberikan peringatan kepada ahli-ahli politik agar menghentikan segera politiking yang boleh menggugat kestabilan negara yang seharusnya dipandang serius semua pihak demi kesejahteraan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos

Mengulas lanjut, Shamrahayu yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut mencadangkan agar ditubuhkan dua jawatankuasa teknikal di bawah jawatankuasa bebas yang diumumkan kerajaan baru-baru ini bagi memberikan input.

“Contohnya, kalau satu jawatankuasa bebas khas yang disebut dalam Ordinan Darurat itu, ia cuma satu jawatankuasa sahaja. Jadi, ia mungkin tidak mampu mendapatkan keseluruhan fakta.

“Saya fikir ada dua jawatankuasa sekurang-kurangnya perlu ditubuhkan iaitu jawatankuasa yang mengandungi orang-orang politik sahaja atau jawatankuasa untuk memerangi Covid-19,” katanya.

Tambahnya, ahli Dewan Negara juga perlu dilibatkan dalam jawatankuasa yang ditubuhkan itu.

Katanya, antara fungsi jawatankuasa berkenaan adalah memikirkan pelan apa yang perlu dibuat oleh kerajaan kepada negara dan rakyat.

“Contohnya kalau nak buat ‘total lockdown’ apa persiapannya. Apa yang perlu kita sediakan kepada rakyat? Adakah perlu kita beri insentif RM700 kepada rakyat sebulan atau tambahkan moratorium untuk sebulan supaya rakyat benar-benar putus hubungan fizikal dengan masyarakat luar.

“Ini yang kita mahukan jawatankuasa ini beroperasi dan ia boleh dianggotai oleh pelbagai orang,” jelasnya.