Susut nilai mata wang baru-baru ini tak terhad kepada ringgit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DOLAR AS yang kukuh dijangka akan berterusan dalam masa terdekat dan ekonomi perlu bersedia untuk satu lagi pusingan pasaran mata wang yang sukar berikutan risiko yang meningkat akan membawa kepada fenomena pasaran kewangan di seluruh dunia.

Pada tahun lepas, kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS menjadi faktor utama pasaran mata wang lemah, termasuk ringgit, berikutan dolar AS dilihat memberi pulangan yang lebih baik dari aspek perbezaan kadar faedah.

Dalam tempoh yang penting dan tidak menentu ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan tugas yang baik dalam menguruskan risiko daripada kejutan luaran dan menangani dolar AS yang kukuh.

Bagaimanapun, kini, had hutang kerajaan AS yang tidak dijangka telah menyebabkan satu lagi ketidaktentuan dalam pasaran, dengan ringgit dan mata wang Asia tidak terlepas daripada impaknya.

Menjawab pertanyaan daripada Bernama, BNM berkongsi perkara dan pandangan mengenai ringgit dalam perkembangan terkininya.

Perkembangan semasa dalam pasaran kewangan global telah menjejaskan sentimen pasaran.

Keadaan ini termasuk had tertinggi hutang AS yang belum dapat diselesaikan serta episod tekanan sektor perbankan di AS dan Eropah.

Hal ini telah menyebabkan meningkatnya permintaan terhadap aset selamat seperti dolar AS dan aliran keluar daripada kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun apabila pelabur melindungi pelaburan mereka.

Berlatarkan keadaan ini, dolar AS telah mengukuh berbanding kebanyakan mata wang.

Impaknya, ringgit menghadapi tekanan penurunan nilai yang ketara, sama seperti kebanyakan mata wang.

Oleh itu, penurunan nilai ringgit baru-baru ini tidak terhad kepada Malaysia semata-mata.

Prestasi ringgit secara keseluruhan perlu diberikan pertimbangan bukan sahaja berbanding dengan dolar AS tetapi juga dengan mata wang negara rakan perdagangan utama Malaysia.

Pergerakan ringgit berbanding rakan dagang utama negara, seperti yang diukur oleh kadar pertukaran efektif nominal (NEER), secara relatif adalah lebih perlahan.

Dalam persekitaran semasa, perkembangan luaran memberikan impak yang lebih besar terhadap prestasi ringgit.​​​​ Berdasarkan situasi ini, prestasi ringgit berbanding dolar AS, atau mana-mana mata wang lain, tidak mencerminkan kedudukan ekonomi negara.

Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dalam julat 4.0 - 5.0 peratus pada 2023.

Permintaan dalam negeri akan terus mendorong pertumbuhan, disokong oleh pasaran pekerja yang terus pulih serta pelaksanaan projek pelaburan dan projek modal jangka panjang, termasuk pelaburan langsung asing yang diluluskan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), LRT Laluan Shah Alam atau LRT 3 dan Lebuhraya Pan Borneo.

Pada masa yang sama, pasaran eksport dan segmen produk Malaysia yang pelbagai akan terus menyokong daya tahan sektor luaran.

Pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran dan BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan yang meningkat.

Bagi tujuan ini, operasi pasaran BNM akan memastikan pasaran kewangan mempunyai mudah tunai yang mencukupi serta berfungsi secara teratur.

Prestasi ringgit dijangka bertambah baik apabila ketidakpastian berhubung perkembangan pasaran global menjadi reda.

Hal ini seterusnya akan mencerminkan kekukuhan asas ekonomi Malaysia dengan lebih baik. - Bernama