Provokasi polis: Reman tujuh lelaki disambung dua hari lagi

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Tempoh reman tujuh lelaki yang ditahan kerana melakukan provokasi kepada anggota polis dalam kejadian kemalangan di Tanjung Tokong pada Ahad lalu dilanjutkan dua hari lagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pihaknya sedang menantikan arahan selanjutnya.

"Kami sudahpun ajukan kertas siasatan kes berkenaan untuk diteliti timbalan pendakwa raya dan sedang menunggu arahan selanjutnya daripada mereka," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tujuh lelaki direman selama tiga hari bermula Selasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian melakukan provokasi terhadap anggota polis selain menghalang tugas polis dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, di sini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Terdahulu, polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes mengepung dan menghalang tiga anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam kejadian kemalangan melibatkan dua lelaki pada petang Ahad.

Artikel Berkaitan:

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada salah seorang anggota URB yang terlibat pada Isnin.

Kesemua ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjung Tokong di sini.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, sekumpulan lelaki dilihat mengepung dan menghalang tiga anggota URB dari Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) selepas menuduh anggota polis itu menendang motosikal yang dinaiki dua lelaki tersebut sehingga menyebabkan kemalangan di persimpangan lampu isyarat di hadapan sebuah pasaraya di Tanjung Tokong.

Kumpulan lelaki itu turut membuat provokasi terhadap anggota polis dengan menggunakan kata-kata kesat.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.20 petang itu, tiga anggota URB tersebut sedang membuat rondaan di Jalan Sri Tanjung Pinang.

Mereka telah terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar.

Polis telah mengarahkan untuk berhenti namun mereka ingkar malah turut memecut motosikal untuk melarikan diri.

Anggota URB tersebut kemudian mengejar dan apabila tiba di lampu isyarat berhampiran sebuah pasaraya, motosikal yang dinaiki dua lelaki tersebut tidak berhenti lalu berlanggar dengan sebuah kereta.

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi terhadap polis: Tujuh lelaki direman tiga hari