Suami isteri ambil inisiatif bantu mangsa banjir

Shahrul( tengah) ketika mengagihkan barangan milik mangsa banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab di sini
Shahrul( tengah) ketika mengagihkan barangan milik mangsa banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab di sini
A
A
A

TEMERLOH - Sepasang suami isteri mengambil inisiatif sendiri dalam membantu mangsa banjir di Kampung Batu Kapor yang merupakan kampung yang terjejas teruk kerana ditenggelami air pada tahun ini.

Shahrul Naim Mat Ramli, 34 bersama isterinya, Manirah Rosedi, 33 mengambil inisiatif dengan berkongsi maklumat berhubung kejadian itu melalui status di aplikasi WhatsApp sebaik kampung itu dilanda banjir sejak 4 Januari lalu.

Shahrul berkata dia dan isterinya terkejut kerana status itu mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak serta individu-individu yang prihatin terhadap mangsa banjir.

Shahrul (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Batu Kapor,Isnin
Shahrul (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Batu Kapor,Isnin

"Banyak pihak telah tampil dengan menyalurkan pelbagai sumbangan berbentuk barangan keperluan seperti pakaian baharu atau terpakai, peralatan rumah, makanan kering selain wang tunai untuk membantu mereka yang terjejas.

"Turut menyalurkan bantuan termasuklah warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), juruadit Bank Rakyat Bangsar, kakitangan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan Malaysia, Surau Al -Falah BTS, Int3tree Malaysia, warga Taman Salak Jaya dan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi selain individu-individu yang prihatin.

"Kami sangat terharu dengan sokongan yang diberikan sekali gus bantuan ini dapat diagihkan kepada mangsa yang memerlukan. Walaupun tidak seberapa namun ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mangsa," katanya kepada Sinar Harian, Isnin.

Mengulas lanjut, Shahrul berkata kejadian banjir di Kampung Batu Kapor itu turut menjejaskan keluarga dan saudara-maranya yang kini bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada penduduk di kampung terbabit dengan membersihkan kediaman masing-masing selepas banjir surut pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Malah kami juga amat terharu kerana turut mendapat bantuan pengangkutan selepas seorang rakan, Mohd Ammar Hafiz Ahmad sudi menawarkan lori tiga tan miliknya secara percuma untuk membawa barangan mangsa," jelas.