Kes PU Azman: Firdaus Wong bantu mangsa kerana takut azab ALLAH

Firdaus Wong kelihatan tenang ketika hadir ke Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Firdaus Wong kelihatan tenang ketika hadir ke Mahkamah Sesyen pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung memberitahu, beliau tampil membantu mangsa kes amang seksual melibatkan pendakwah selebriti Pencetus Ummah (PU), Azman Syah Alias kerana takut dengan azab ALLAH SWT.

Pada hari keempat perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, beliau yang merupakan saksi ke-10 bagaimanapun menafikan seorang yang berani seperti mana yang dikatakan oleh rakan penceramahnya, Isfadiah Mohd Dasuki.

"Saya tak tahu dan tak berani puji diri sendiri, dan dalam kenyataan sembang di sebuah rancangan televisyen sebelum ini saya mengaku yang sebenarnya seorang penakut.

"Saya sebenarnya takut di akhirat nanti ALLAH tanya bila orang datang minta bantuan selepas dizalimi dan saya yang ada kelebihan untuk membantu mereka, saya tak bantu," katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Datin Surita Budin bagi menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly berhubung kenyataan Isfadiah pada Rabu yang memberitahu faktornya merujuk kes berlaku kepada Firdaus kerana menyifatkannya seorang berani.

Menurut Firdaus, 40, disebabkan perasaan takut itu, beliau terpaksa menahan diri daripada dikecam, dihina dan dimaki dengan memilih untuk tampil ke hadapan.

Jelasnya lagi, ketakutannya kepada ALLAH dan azabnya di akhirat membuatkan beliau bersedia menghadapi cacian dan makian.

Malah beliau berkata, peranannya selepas mengetahui kes terkutuk itu ialah lebih kepada menjadi pemuda cara, malah tidak pernah memaksa mangsa membuat laporan polis.

"Pemuda cara dan untuk menenangkan mangsa terlibat kerana hampir semua kes yang kami kendalikan terutama bila melibatkan orang terkenal, mangsa akan alami ketakutan, trauma dan 'anxiety'.

"Tugas saya beri kefahaman yang mereka tidak akan disaman oleh pihak yang dilaporkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa melainkan mempunyai ramai kenalan peguam yang boleh memberi nasihat.

Sementara itu, Firdaus memaklumkan beliau mengenali PU Azman sebagai bekas peserta realiti dakwah dan terlibat dalam industri lakonan malah pernah berkomunikasi melalui WhatsApp.

Disebabkan itu tambah Firdaus, beliau pada awalnya sukar untuk percaya kejadian amang seksual yang melibatkan tertuduh.

Tambahnya, begitu juga dengan ibu bapa mangsa yang tidak percaya seorang ustaz selebriti tergamak melakukan perkara sebegitu rupa.

Seramai 26 orang saksi dijangka dipanggil sepanjang kes perbicaraan tersebut yang bermula pada 24 Julai lalu.

Pada 12 Oktober 2022, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.

Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes PU Azman: Ibu mangsa dedah anak diminta lumur minyak

Ibu dakwa anak dicabul PU Azman cara 'pegang-pegang'

[VIDEO] PU Azman: 'Saya tak percaya ustaz lakukan perbuatan itu' - Bapa mangsa

Saksi dedah PU Azman buat oral seks terhadap anak murid

Kes PU Azman: Firdaus Wong dakwa wujud perbuatan liwat