Kerajaan Pulau Pinang diingatkan tidak boros

Laporan Sinar Harian pada Khamis lalu mengenai pembelian kereta rasmi baharu Ketua Menteri.
Laporan Sinar Harian pada Khamis lalu mengenai pembelian kereta rasmi baharu Ketua Menteri.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang diminta agar tidak boros ketika berbelanja terutamanya dalam perkara yang tidak begitu penting seperti menukar kereta rasmi Ketua Menteri yang baharu.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, pembelian kereta baharu model Mercedes S560e dengan harga RM460,000 itu sepatutnya dijimatkan untuk membantu rakyat di negeri ini agar lebih ramai mendapat bantuan terutamanya ketika penularan Covid-19.

Sambil menyifatkan pembelian kereta baharu itu sebagai pembaziran, beliau berkata, kerajaan DAP dilihat hanya mementingkan kualiti kehidupan sendiri berbanding kepentingan rakyat khususnya di Pulau Pinang.

"Kerajaan DAP Pulau Pinang mengatakan mereka tiada duit ketika pembentangan bajet pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 11 Oktober tahun lalu, malah mendesak kerajaan Pusat memperuntukkan dana untuk membantu Pulau Pinang dalam mengurangkan defisit, namun dalam keadaan bajet defisit, boleh pula kerajaan negeri menukar kereta baharu Ketua Menteri.

'Mengapa tidak menggunakan wang tersebut untuk membantu rakyat?" katanya pada sidang akhbar di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Menteri Pulau Pinang tukar kereta baharu

Tambahnya, kereta rasmi Ketua Menteri iaitu Mercedes S300L yang dibeli pada 2013 masih elok untuk digunakan.

"Sebelum ini, bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pernah mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula program pelupusan kenderaan yang berusia 10 tahun atau ke atas.

Artikel Berkaitan:

"Oleh demikian, kereta yang berusia tujuh tahun belum dikategorikan sebagai kenderaan lama. Adalah tidak munasabah untuk Ketua Menteri menggantikan kenderaan rasmi yang berusia tujuh tahun itu dengan kenderaan baharu ketika negara diselubungi pandemik Covid-19 yang mengakibatkan kehidupan rakyat sengsara," katanya.

Tong Keong turut mempersoalkan alasan penukaran kereta rasmi tersebut selain daripada faktor keselamatan.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak membantah sekiranya ada keperluan terhadap pembelian kenderaan rasmi baharu namun ia perlulah melibatkan harga yang tidak terlampau mahal apatah lagi dalam keadaan ekonomi meleset dan kewangan negeri yang membimbangkan pada masa ini.

"Mereka mengatakan ada penjimatan dalam pembelian kereta baharu itu namun jika RM460,000 itu diberi kepada 661 penerima bantuan Agenda Saksama Ekonomi (AES), setiap daripada mereka akan menerima RM695.

"Jika ia dibahagi sama rata kepada 460 penganggur yang sukar menampung perbelanjaan kehidupan mereka, setiap daripada mereka akan menerima RM1,000," katanya.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini hanya menukar kereta rasmi Ketua Menteri sebanyak dua kali sepanjang 26 tahun iaitu sejak 1982 hingga 2008.

"Mendiang Tun Dr Lim Chong Eu menggunakan kenderaan rasmi sejak 1982 sehingga tahun 1995 dan ia turut digunakan oleh Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Pada1995 kenderaan rasmi yang lama itu digantikan baharu dan digunakan sehingga 2014.

"Bagaimanapun, setelah diambil alih oleh DAP, mereka telah dua kali menukar kereta baharu iaitu dalam tempoh 12 tahun (2008 hingga 2021)," katanya.

Terdahulu, Pulau Pinang telah membeli sebuah kereta baharu model Mercedes S560e sebagai kereta rasmi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, pembelian kereta itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 29 November tahun lalu.

Harga kereta baharu tersebut mencecah hampir dua kali ganda dari harga kereta rasmi sebelumnya yang digunakan oleh Kon Yeow iaitu Mercedes S300L yang dibeli dengan harga RM298,263.

Keputusan itu dibuat untuk menggantikan kereta lama dalam mengurangkan kos penyelenggaraan selain faktor keselamatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gerakan kecam pembelian kereta baharu Ketua Menteri