Ketua Menteri Pulau Pinang tukar kereta baharu

Kereta rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.
Kereta rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.
A
A
A

GE0RGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah membeli sebuah kereta baharu model Mercedes S560e sebagai kereta rasmi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada tahun 2013.

Kon Yeow dilihat menggunakan kereta baharu itu ketika hadir Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Dewan Bandaraya di sini pagi Khamis.

Kon Yeow berkata, beliau baharu sahaja menerima kereta tersebut pada Rabu.

"Saya tidak tahu perincian pembelian ini, Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini nanti," katanya ringkas.

Sementara itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, pembelian kereta itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 29 November tahun lalu.

"Pembelian Mercedes S560e bagi menggantikan kereta rasmi sedia ada, Mercedes S300L yang dibeli dengan harga RM298,263.75 pada 2013.

"Kereta model berwarna kelabu selenite yang dikeluarkan pada 2019 itu dibeli dengan harga RM458,122.78 iaitu dengan potongan harga sebanyak RM127,765.22. MMK telah bersetuju dengan pembelian kereta baru itu pada 29 November 2019," katanya.

Harga kereta baharu tersebut hampir dua kali ganda dari harga kereta rasmi sebelumnya yang digunakan oleh Kon Yeow iaitu Mercedes S300L yang dibeli dengan harga RM298,263.

Artikel Berkaitan:

Pada Ogos 2019, Pulau Pinang mengesahkan penerimaan 15 unit baharu Toyota Camry 2.5 CBU untuk kegunaan rasmi bagi menggantikan model CKD sebelumnya.

Setiap kereta tersebut berharga RM184,912 dan kerajaan negeri berjaya memperoleh diskaun sebanyak RM4,990.

Keputusan itu dibuat untuk menggantikan kereta lama dalam mengurangkan kos penyelenggaraan selain faktor keselamatan.