Malaysia #QuranHour peringkat Pulau Pinang Ahad ini

Malaysia #QuranHour peringkat Pulau Pinang akan diadakan Ahad ini di Masjid Jalan Semilang, Seberang Jaya.
Malaysia #QuranHour peringkat Pulau Pinang akan diadakan Ahad ini di Masjid Jalan Semilang, Seberang Jaya.
A
A
A

GEORGETOWN - Masjid Jalan Semilang, Seberang Jaya dipilih untuk penganjuran program Malaysia #QuranHour peringkat Pulau Pinang yang akan diadakan Ahad ini.

Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton@Zariyah Abdullah berkata, program bermula jam 8.30 pagi akan dirasmikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menurutnya, Malaysia #QuranHour kali ini membawa tema 'Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar'.

"Qari yang mewakili Pulau Pinang dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) tahun ini akan membimbing bacaan surah Al-Fatihah, Al-Baqarah, Al-Insan dan Al-Asr.

"Untuk penyampaian tadabbur pula akan dikendalikan oleh Ustaz Amran Mohd Yusoff," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Zaiton berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran seramai 600 orang peserta termasuk peserta Rumah Ngaji dari seluruh Pulau Pinang.

Sementara itu, program sama akan turut diadakan di Perpustakaan Awam Pulau Pinang di Seberang Jaya pada Rabu depan bermula jam 12 tengah hari.

Dijangkakan seramai 200 orang akan menyertai program berkenaan yang akan dibimbing bacaan dan tadabbur oleh Ustaz Mohd Aslam Mohd Shukor.

Program ini diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr.

Lokasi perdana bagi Malaysia #QuranHour akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 hingga 1 tengah hari, pada 30 Ogos selain ia turut dilaksanakan di beberapa lokasi utama di seluruh negara.