Gerakan kecam pembelian kereta baharu Ketua Menteri

Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai pembelian kereta baharu model Mercedes S560e sebagai kereta rasmi Ketua Menteri, bagi menggantikan kereta lama.
Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai pembelian kereta baharu model Mercedes S560e sebagai kereta rasmi Ketua Menteri, bagi menggantikan kereta lama.
A
A
A

BUTTERWORTH - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang mengecam pembelian kenderaan rasmi baharu Ketua Menteri Pulau Pinang yang harganya hampir mencecah setengah juta ringgit iaitu dua kali ganda daripada harga kereta yang digunakan sebelum ini.

Ketua Biro Perpaduan Nasionalnya, Puvaniten Helan Govan berkata, alasan kereta rasmi lama yang berusia tujuh tahun tidak masuk akal untuk membolehkan pembelian kenderaan baharu dengan harga yang mahal.

Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya fokus terhadap pembangunan kebajikan rakyat dan bukannya bermewah dengan kereta baharu.

“Ada rakyat Pulau Pinang yang hidup sengsara tinggal di dalam kereta sehingga lapan bulan meneruskan kehidupan dan mandi di tandas awam.

"Ini adalah salah satu contoh bagaimana situasi kebajikan rakyat Pulau Pinang begitu terabai dan tidak terjaga langsung sehingga ada yang terpinggir dan terlepas pandang, namun hanya mendapat perhatian setelah kes itu tular di dalam media sosial," katanya di sini pada Jumaat.

Puvaniten berkata, harga kereta baharu tersebut hampir dua kali ganda berbanding kereta rasmi jenis Mercedes Benz S300L yang digunakan Ketua Menteri sebelum ini iaitu RM298,263.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang membeli sebuah kereta baharu model Mercedes Benz S560e bagi menggantikan kereta Mercedes Benz S300L yang dibeli pada 2013.

"Pemimpin politik hari ini harus meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama, tambahan pula kita sedang bersama memerangi pandemik Covid-19 yang masih berleluasa ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Menteri Pulau Pinang tukar kereta baharu