RM2.2 juta diperlukan baik pulih jalan rebak

Zainol Fadzi (kiri) melihat struktur Jalan Besar Chikus menghubungkan Attaduri dan Chikus yang rebak akibat limpahan air Sungai Batang Padang pada Selasa.
Zainol Fadzi (kiri) melihat struktur Jalan Besar Chikus menghubungkan Attaduri dan Chikus yang rebak akibat limpahan air Sungai Batang Padang pada Selasa.
A
A
A

TELUK INTAN - Sebanyak RM2.2 juta diperlukan bagi membaik pulih Jalan Besar Chikus menghubungkan Attaduri dan Chikus yang rebak akibat limpahan air Sungai Batang Padang.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jabatan berkaitan diarah untuk menilai kerosakan yang berlaku sebelum kerja baik pulih dimulakan.

Menurutnya, penilaian teknikal itu penting bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

"Kita akan pastikan baik pulih jalan ini diberikan keutamaan memandangkan ia merupakan jalan utama yang digunakan penduduk.

"Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran merupakan jabatan teknikal yang menilai keadaan jalan yang rosak ini," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, mengenai bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini, Saarani berkata, semua yang ditempatkan di PPS disediakan makanan dan keperluan lain.

Selain itu katanya, bantuan kotak makanan turut diagihkan kepada mangsa yang terjejas.

Sementara itu, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, laluan tersebut dilalui lebih 3,000 kenderaan setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Katanya, laluan tersebut menghubungkan penduduk di 60 kampung berhampiran untuk ke Pekan Langkap selain memendekkan masa dari Pekan Langkap ke Teluk Intan.

"Kita mengharapkan sokongan kerajaan negeri agar kerja-kerja baik pulih jalan itu disegerakan.

"Keadaan ini akan menjejaskan sosio ekonomi kalau ditutup dalam jangka masa panjang," katanya.

Beliau turut mengharapkan agar jalan yang siap dibina pada 30 April 2009 itu siap dibaik pulih tahun ini.