Lebih RM4 juta kos baik pulih sekolah, kediaman akibat ribut

Alexander Nanta Linggi bersama Fadhlina ketika hadir hari ini meninjau kerosakan yang dialami Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur kesan daripada dilanda ribut pada 19 Mei lalu. - Foto Bernama
Alexander Nanta Linggi bersama Fadhlina ketika hadir hari ini meninjau kerosakan yang dialami Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur kesan daripada dilanda ribut pada 19 Mei lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerosakan yang berlaku di sekolah dan premis kediaman di Wilayah Persekutuan akibat kejadian ribut Jumaat lepas dianggarkan melibatkan kos pembaikan lebih RM4 juta, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, kejadian ribut minggu lalu menyebabkan sebanyak 29 sekolah di Kuala Lumpur terjejas dan kos yang dianggarkan untuk membaik pulih kesemua sekolah adalah RM3 juta.

"Kerja pembaikan sekolah akan dilaksanakan secepat mungkin menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM). Terpulang kepada KPM untuk minta Jabatan Kerja Raya (JKR) laksanakan kerja baik pulih atau KPM lantik kontraktor sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak di sini hari ini.

Menurut Nanta selain daripada sekolah, turut terjejas dalam kejadian ribut Jumaat lalu ialah kuarters pekerja di Kementerian Kerja Raya melibatkan lima premis rumah setingkat.

"Kerja pembaikan telah dijalankan oleh JKR sendiri dan ia tidak melibatkan sebarang kos. Kita boleh buat sendiri dengan bajet dalaman,” katanya.

Beliau berkata, premis lain turut terlibat dalam kejadian ribut ialah lima unit rumah kuarters di Kementerian Pertahanan yang melibatkan anggaran kerja pembaikan mencecah RM500,000.

"Satu lagi ialah kejadian pokok menghempap rumah di Kedutaan Palestin. JKR sudah menerima laporan dari Bahagian Pengurusan Hartanah di Kuala Lumpur dan sudah memanggil kontraktor untuk memotong pokok yang tumbang, menjalankan kerja pembersihan dan kerja pembaikan elektrik dengan anggaran kos RM600,000,” katanya.

Sementara itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut hadir bersama Nanta untuk melawat SK Setapak berkata, sekolah berkenaan merupakan sekolah yang paling teruk terjejas dalam kejadian ribut minggu lepas.

"Selepas lawatan ini tindakan susulan akan dilaksanakan supaya kerja pembersihan dan pembaikan dapat diselesaikan dalam tempoh cuti sekolah. Sebanyak lapan kelas mengalami pelbagai kerosakan melibatkan peralatan pembelajaran dan pendawaian yang terjejas,” katanya.

Difahamkan 70 murid SK Setapak yang terjejas ialah murid berkeperluan khas dan buat masa ini mereka ditempatkan di makmal dan kelas lain. - Bernama