Tiada tanda kehadiran harimau, bunyi ngauman dipercayai hasil janaan AI - Perhilitan

Siasatan Perhilitan di lapangan tidak menemui sebarang tanda kehadiran harimau berdekatan Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City.
Siasatan Perhilitan di lapangan tidak menemui sebarang tanda kehadiran harimau berdekatan Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan tiada sebarang tanda kehadiran harimau susulan penularan video bunyi ngauman berdekatan Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City di sini pada Sabtu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, hasil pemeriksaan di sekitar kawasan berkenaan mendapati, tiada kesan tapak kaki, najis atau sebarang petunjuk yang menunjukkan kehadiran harimau.

"Siasatan di lapangan tidak menemui sebarang tanda kehadiran harimau," katanya pada Ahad.

Beliau tidak menolak kemungkinan, bunyi ngauman yang tular itu bukan rakaman sebenar, sebaliknya dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Bunyi dalam video tersebut dipercayai palsu, menggunakan AI," katanya.

Yusoff menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan isu berkaitan kehadiran haiwan liar seumpama itu sebagai bahan jenaka terutama di media sosial.

"Perkara sebegini bukan hanya menimbulkan kebimbangan awam malah mengganggu usaha pihak berkuasa dalam menangani isu hidupan liar," katanya.

Pada Sabtu, Perhilitan Perak memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan selepas tular satu video berdurasi 15 saat di Facebook dan aplikasi WhatsApp yang memaparkan bunyi ngauman dipercayai harimau.

Ngauman kuat di kawasan berhampiran hutan, sekolah menengah dan perumahan di Proton City itu dilaporkan telah mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Perhilitan Perak mengesahkan tiada tanda kehadiran harimau di Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City
  • Tiada kesan tapak kaki, najis atau petunjuk lain yang ditemui di kawasan berkenaan
  • Siasatan lapangan Perhilitan tidak menunjukkan tanda kehadiran harimau
  • Bunyi ngauman dalam video yang tular dipercayai palsu, dihasilkan menggunakan teknologi AI
  • Yusoff Shariff menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan isu kehadiran haiwan liar sebagai bahan jenaka di media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!