Wanita dalam idah ditangkap khalwat

Seorang wanita yang masih dalam tempoh idah bersama kekasihnya dicekup JAINJ di Johor Bahru pada malam Sabtu. Foto hiasan
Seorang wanita yang masih dalam tempoh idah bersama kekasihnya dicekup JAINJ di Johor Bahru pada malam Sabtu. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita yang masih dalam tempoh idah bersama kekasihnya dicekup Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah teres dua tingkat di daerah ini.

Menurut sumber, penguat kuasa JAINJ melakukan serbuan pada jam 12.30 tengah malam pada Sabtu selepas menerima aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan di rumah tersebut.

Setibanya di lokasi, penguat kuasa mendapati rumah tersebut dalam keadaan separa gelap dan beberapa minit mengetuk pintu, seorang wanita membuka pintu sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

"Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk membuat pemeriksaan lanjut.

"Ruang tamu kelihatan berselerak dan barang tidak tersusun seperti baru berpindah rumah.

"Rumah berkenaan mempunyai dua bilik dan ketika memasuki bilik utama, ditemui seorang lelaki sedang duduk di atas karpet bersebelahan katil sedang main telefon dengan hanya berseluar pendek," maklum kenyataan itu.

Menurut JAINJ, pemeriksaan mendapati hanya pasangan berkenaan berada dalam rumah dan mereka mengaku bukan suami isteri.

"Lelaki berusia 30-an itu masih bujang manakala wanita juga berusia 30-an dan baru sebulan bercerai iaitu masih dalam tempoh idah.

"Rumah itu adalah rumah wanita yang baru berpindah sejak bercerai dan lelaki terbabit banyak membantu termasuk membayarkan sewa bulanan rumah," jelas kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut JAINJ, semasa serbuan, lelaki berkenaan datang menggunakan perkhidmatan e-hailing dan masuk ke rumah secara senyap-senyap sejak siang hari.

JAINJ turut memaklumkan, wanita tersebut yang belum dikira bercerai sepenuhnya kerana masih dalam idah sebagai isteri orang dan dia sudah lama mempunyai hubungan sulit dengan lelaki berkenaan.

"Dari awal sepatutnya lelaki ini tidak mengganggu isteri orang. Hasrat awal lelaki ini berjaya menjadi punca utama perceraian.

"Lelaki ini terus memperlihatkan sisi niat jahat apabila terus mengganggu wanita ini dalam idah. Dia umpan dengan duit termasuk sewa rumah dan belanja harian," ujarnya.

Pasangan berkenaan ditahan atas kesalahan khalwat di bawah seksyen 27(1)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita yang masih dalam tempoh iddah dicekup JAINJ bersama kekasihnya di Johor Bahru
  • Serbuan dilakukan setelah menerima aduan awam tentang aktiviti mencurigakan
  • Kediaman dalam keadaan separa gelap, lelaki ditemui berpakaian separa
  • Wanita baru bercerai dan masih dalam tempoh iddah, lelaki tersebut banyak membantu kewangan
  • Pasangan ditahan atas kesalahan khalwat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!