Harimau belang jantan masuk perangkap di Bukit Kinding

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seekor harimau belang jantan yang dinamakan 'Yop Kinding' masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan Bukit Kinding, Tanjung Rambutan di sini pada Ahad.
Operasi terhadap haiwan pemangsa seberat 75 kilogram dianggarkan berusia sekitar dua tahun itu dilakukan hasil aduan penduduk mengenai kehadiran harimau di kawasan itu sejak Sabtu.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, perangkap dipasang sekitar jam 10 pagi sebelum haiwan liar itu berjaya masuk ke dalam perangkap kira-kira jam 1 petang.
"Pemeriksaan awal mendapati harimau berkenaan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan fizikal.
"Walaupun tiada kecederaan luaran dikesan, pemeriksaan kesihatan menyeluruh tetap akan dijalankan bagi memastikan tahap kesihatan harimau tersebut," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.
Beliau berkata, harimau berkenaan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Yusoff mengesahkan harimau yang ditangkap bukan harimau yang sedang diburu di kawasan riadah Bukit Bangkong seperti yang tular sebelum ini.
"Berdasarkan laporan, harimau ini berbeza dan berkemungkinan anak kepada harimau yang dikesan sebelum ini di kawasan Bukit Bangkong," katanya.
Ringkasan AI
- Seekor harimau belang jantan masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Bukit Kinding, Tanjung Rambutan
- Operasi pemangkapan harimau itu dilakukan berikutan aduan dari penduduk tentang kehadiran harimau di kawasan tersebut
- Harimau itu berjaya tertangkap dalam perangkap pada jam 1 petang tanpa mengalami sebarang kecederaan fizikal
- Harimau tersebut akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk pemeriksaan kesihatan dan tindakan lanjut
- Harimau yang ditangkap bukan harimau yang sedang diburu di Bukit Bangkong, tetapi berkemungkinan anak harimau yang dikesan sebelum ini di kawasan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

