Pembayaran Prasarana pada Oktober hanya untuk kerja-kerja setakat Jun 2020

Prasarana Malaysia Bhd
Prasarana Malaysia Bhd
A
A
A

KUALA LUMPUR - MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) telah menjelaskan bahawa pembayaran Prasarana Malaysia Bhd pada 2 Oktober lepas hanya untuk kerja-kerja pembinaan sehingga Jun 2020.

Kelewatan pembayaran melebihi RM700 juta oleh Prasarana adalah dari Julai 2020 hingga Oktober 2020, yang telah disahkan untuk pembayaran oleh perunding bebas yang dilantik Prasarana iaitu KL Prima Consult Sdn Bhd, kata MRCBGK dalam satu kenyataan pada Isnin.

"Sehingga Oktober 2020, jumlah pembayaran yang dijamin adalah sebanyak RM723.89 juta, manakala pembayaran November 2020 masih menunggu pengesahan.

"Dalam pada itu, MRCBGK telah mendahulukan lebih RM200 juta bagi meneruskan kerja-kerja LRT3. Kedua-dua MRCB dan George Kent telah memberi jaminan korporat kepada Prasarana dan mengeluarkan, masing-masing modal berbayar sebanyak RM5 juta," katanya.

Sementara itu, MRCBGK menegaskan ia juga telah melebihi kuota minimum 30 peratus Bumiputera selepas mempunyai 39.7 peratus kontraktor Bumiputera dalam projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3). Pecahan kontraktor adalah 52 peratus tempatan, 40 peratus Bumiputera dan 8.0 peratus asing.

"Keseluruhan kemajuan projek LRT3 adalah 45.8 peratus setakat 31 Dis 2020. Projek ini mengupah 21 kontraktor dan perunding utama termasuk 10,000 pekerja.

"Kami secara profesional akan terus bekerjasama dengan Prasarana Malaysia untuk menyelesaikan semua perkara bagi memastikan kelancaran penyampaian projek," tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: