Roboh gerai sebab langgar syarat permit sementara: MBSJ

Operasi perobohan struktur gerai dilakukan oleh anggota penguat kuasa MBSJ di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, pada Isnin.
Operasi perobohan struktur gerai dilakukan oleh anggota penguat kuasa MBSJ di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, pada Isnin.
A
A
A
SUBANG JAYA - [DIKEMASKINI] Tindakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan gerai berhampiran Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai pada Isnin adalah berikutan terdapat pelanggaran syarat permit sementara dilakukan oleh penjaja terlibat.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, langkah penguatkuasaan itu diambil selepas gerai-gerai berkenaan didapati didirikan di atas tanah rizab jalan dan berstruktur tetap.

Selain itu, beliau berkata, operasi bersepadu dan tindakan perobohan itu juga dilakukan berikutan lokasi gerai berkenaan yang tidak bersesuaian.

"Jalan tersebut telah disenaraikan dalam Pelan Menaik taraf Infrastruktur melibatkan kerja turapan, median dan side kerb serta anti-climbing fencing.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga rayu MBSJ tangguh roboh gerai

"Kerja naik taraf itu juga akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan mengenai tindakan MBSJ merobohkan gerai di lokasi berkenaan yang sebelum ini didakwa menjadi punca kepada isu kesesakan di kawasan itu.

Dalam pada itu, Azfarizal berkata, MBSJ juga telah mengambil inisiatif bagi menempatkan semula penjaja terlibat di lokasi baharu berbumbung di Dataran Puchong Permai.

"Dua sesi taklimat bagi tujuan ini turut diadakan pada 1 Oktober lalu melibatkan taklimat perancangan pembangunan dan taklimat pemindahan peniaga pada 10 Disember lalu," katanya.
Artikel Berkaitan:


Mengulas mengenai operasi tersebut, Azfarizal berkata, MBSJ telah meruntuhkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab jalan dan melanggar syarat ditetapkan.

Tambahnya, tindakan ini diambil di bawah Seksyen 46 (1l (a) & 70 (13) (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

"MBSJ akan meneruskan operasi bersepadu ini dari masa ke masa bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.