Peniaga rayu MBSJ tangguh roboh gerai

Kewujudan gerai-gerai berhampiran Bulatan Puchong Permai didakwa menjadi punca kepada kesesakan di kawasan itu.
Kewujudan gerai-gerai berhampiran Bulatan Puchong Permai didakwa menjadi punca kepada kesesakan di kawasan itu.
A
A
A

PUCHONG - Peniaga berhampiran Bulatan Puchong Permai berharap agar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dapat memberi pertimbangan untuk tidak merobohkan gerai mereka dalam masa terdekat.

Difahamkan, peniaga terlibat memohon penangguhan itu selepas MBSJ melaksanakan operasi perobohan melibatkan 43 gerai di kawasan itu pada Isnin.

Pengerusi Persatuan Usahawan Peniaga Puchong (Puspep), Ismail Awang berkata, tindakan MBSJ melakukan operasi itu adalah tidak wajar memandangkan peniaga di situ tidak menerima sebarang notis rasmi dari pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sebelum ini.

"Sebelum ini, kami memang mempunyai lesen sementara namun sejak tahun lalu, MBSJ mula menolak permohonan kami untuk memperbaharui lesen tersebut.

"Alasan yang mereka berikan adalah kerana operasi gerai kami telah menyebabkan kacau ganggu buat lalu lintas di sini sehingga mengundang kesesakan khususnya pada waktu puncak," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ismail Awang
Ismail Awang

Dalam operasi itu, MBSJ sempat merobohkan lima daripada 43 gerai terlibat sebelum ditahan oleh peniaga terlibat yang meminta budi bicara dan pertimbangan pihak terbabit untuk perbincangan.

Selepas perbincangan, MBSJ bersetuju memberi tempoh seminggu kepada peniaga terlibat untuk mengosongkan dan mengeluarkan barangan mereka dari gerai terbabit.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ismail berkata, sebelum ini, dia juga telah memanjangkan perkara itu kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi meminta campur tangan pihak terlibat.

"Malah, isu ini turut dipanjangkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memandangkan gerai kami tidak mengganggu lalu lintas seperti dakwaan MBSJ," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga kerepek, Nor Azadila Alias, 38, berkata, kebanyakan peniaga menolak tapak baharu yang ditawarkan oleh MBSJ kepada mereka bersebelahan Uptown Bazar Heritage Puchong Permai yang dilihat tidak begitu bersesuaian.

 Antara gerai yang sempat dirobohkan MBSJ dalam operasi berkenaan pada Isnin.
Antara gerai yang sempat dirobohkan MBSJ dalam operasi berkenaan pada Isnin.

"Kami dapat menerima dan bertolak ansur jika MBSJ menyediakan premis dengan setiap lot berkeluasan 10x15 kaki persegi.

"Kami berharap MBSJ dapat bertimbang rasa kerana sebahagian peniaga di sini adalah golongan asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas," katanya.

Selain itu, seorang peniaga makanan, Md Idris Saidin, 63, berkata, pihaknya amat kecewa apabila gerainya itu bakal dirobohkan selepas hampir 10 tahun meniaga di sana.

Katanya, peniaga di sini mengharapkan sokongan dan pertimbangan daripada PBT khususnya selepas negara dilanda pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Dalam pada itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas MBSJ berhubung tindakan perobohan ini.