‘PJ LOVE U’ tema ulang tahun ke-17 Bandaraya Petaling Jaya

Artis popular meriahkan acara sambutan Ulang Tahun Ke-17 pengisytiharan Petaling Jaya sebagai bandar raya

A
A
A

No Image Caption

PETALING JAYA - “PJ Love U” diangkat menjadi tema sambutan ulang tahun ke-17 Petaling Jaya sebagai bandar raya menerusi pelaksanaan 21 program sepanjang Jun ini.

Datuk Bandar, Mohamad Azhan Md Amir berkata, keraian itu akan disempurnakan dengan acara kemuncak Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-17 yang dijadualkan berlangsung di Laman MBPJ hadapan Ibu Pejabat MBPJ di Jalan Yong Shook Lin di sini, pada 24 Jun ini, bermula jam 8 malam.

Pengisytiharan rasmi Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya dibuat pada 20 Jun 2006.

Jelasnya, sambutan tahun ini meliputi pelbagai program berbentuk jualan, pameran, pertandingan, kejohanan, sumbangan termasuk perkhidmatan percuma yang dirangka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mendekatkan diri dengan komuniti setempat.

No Image Caption

“Tahun 2023 ini merupakan tahun yang ke-17 Petaling Jaya menjadi sebuah bandar raya. ‘PJ Love U’ diangkat sebagai tema untuk menzahirkan rasa kasih sayang MBPJ kepada seluruh penduduk di Petaling Jaya khasnya dan penduduk negeri Selangor serta Malaysia amnya.

“Kemuncak sambutannya ialah pada 24 Jun ini, iaitu acara perasmian yang akan diserikan dengan persembahan istimewa oleh Firman dan Nabila Maharani dari Indonesia, di samping Neeta Manis, Mr 5k dan Aliff Aziz,” katanya.

Menurutnya, keraian tahun ini turut menyaksikan Laman MBPJ, Lorong Tengah ‘PJ Art Lane’ dan sekeliling Menara MBPJ, Dataran Boulevard serta sebahagian Jalan Yong Shook Lin, Jalan Selangor dan Jalan Sultan bermandikan cahaya lampu hiasan pada waktu malam.

No Image Caption

Mohamad Azhan berkata, buat julung kalinya juga akan diadakan pertandingan bagi acara perarakan pada malam perasmian yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,500, sijil dan hadiah iringan bagi kategori badan korporat, majlis perwakilan penduduk, pusat pengajian tinggi, dan badan kerajaan.

“Majlis menyasarkan sebanyak 16 pasukan bakal menyertai pertandingan dan sehingga kini, 18 pasukan telah mengesahkan penyertaan. Ia melepasi sasaran awal yang ditetapkan,” katanya mengenai pertandingan perarakan itu yang akan turut disertai Sahabat Radio Suria FM.

Pemenang bagi kategori Keseluruhan Terbaik bakal menerima wang tunai RM3,000, manakala pemenang tempat pertama diperuntukkan RM1,500, kedua (RM1,000) dan ketiga, RM500. Sebanyak RM500 juga menanti Pemenang Kostum Terbaik.

Hidupkan pelbagai lokasi

No Image Caption



Pelaksanaan program-program turut bertumpu di Taman Bandaran Kelana Jaya, The Spine SS7 Kelana Jaya, Dewan D’Kelana SS7, selain lokasi utama di Laman MBPJ, Dataran Boulevard dan Pusat Bandar Seksyen 52.

“Pemilihan lokasi ini selaras dengan hasrat Majlis menghidupkan persekitaran Pusat Bandar Seksyen 52 dan seterusnya mempergiatkan usaha mempromosi Bandar Raya Petaling Jaya sebagai Kota Seni,” jelas Mohamad Azhan.

Ini disusuli acara PJ Smart Ride pada 25 Jun yang menyaksikan selebriti popular, Baggio Damasutra bakal memberi cabaran dalam pertandingan kayuhan berbasikal sejauh 45km yang menawarkan pendaftaran percuma.

Pada sebelah malam, MBPJ menyeru umat Islam khususnya warga Petaling Jaya menghadiri majlis PJ Berselawat di Dataran Boulevard, Seksyen 52 Petaling Jaya.

No Image Caption

MBPJ turut memberi penawaran percuma bagi penggunaan tempat letak kereta, kolam renang, gelanggang badminton dan tenis, selain 300 pendaftaran perpustakaan dan pemberian 1,000 anak pokok.

Mohamad Azhan yang menyambut ulang tahun Petaling Jaya buat kali kedua, mengimpikan bandar raya terkemuka Selangor ini dikenali bukan saja di Malaysia, malah luar negara.

“Selain mengimpikan Petaling Jaya dikenali sebagai Kota Seni yang penuh dengan aktiviti kebudayaan dan pelancongan, saya berharap MBPJ menjadi Pihak Berkuasa Tempatan yang memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Petaling Jaya dan menjadi contoh atau model kepada agensi kerajaan, mahu pun swasta.

“Kenalilah Petaling Jaya ini sebagai satu bandar raya yang maju dan sejahtera, selaras pelan strategik PJSSR 2023, ‘PJ Smart, Sustainable and Resilience 2030,” katanya, seraya mengalu-alukan kehadiran pengunjung dalam dan luar negara memeriahkan sambutan kali ini.

#MalaysiaMadani

#KitaSelangor

#PJLoveU

#UlangtahunBandarayaPJ17

#MBPJ