X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda UMNO kemukakan enam cadangan atasi isu kartel daging

ASYRAF WAJDI
A
A

SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda UMNO mengemukakan enam cadangan yang perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan bagi menangani isu kartel daging.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu bertujuan bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan bukan sahaja kepada rakyat bahkan logo halal Malaysia yang diiktiraf dunia tidak terjejas dan mampu dipertahankan.

Menurutnya, keenam-enam cadangan itu termasuklah mengisytiharkan dan mendedahkan nama-nama syarikat yang sedang disiasat serta disyaki terbabit dengan penipuan sijil dan percampuran daging halal haram.

“Kerajaan juga perlu mengambil tindakan dengan menarik semula bekalan daging yang telah memasuki pasaran dalam tempoh dua minggu ini oleh syarikat-syarikat terbabit dengan melibatkan semua peruncit dan pengedar bagi mengelakkan ianya dijual kepada rakyat serta pengusaha makanan.

“Selain itu, menubuhkan satu pasukan khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenal pasti dalang sindiket kartel yang bertanggungjawab dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.

“Menilai semula kapasiti kakitangan persijilan halal yang jelas tidak selari dengan bebanan dan keluasan cakupan tugas pengawasan sijil halal dalam Malaysia dan di luar negara. Ini kerana pihak kami mendapat maklumat bahawa terdapat kakitangan di peringkat negeri masih bertaraf kontrak walaupun telah bekerja lebih 8 tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

Antara laporan Sinar Harian berkaitan kartel daging haram.
Antara laporan Sinar Harian berkaitan kartel daging haram.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi turut mencadangkan agar penambahan kakitangan pengawal seliaan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dapat dilakukan dengan segera.

Katanya, ia bertujuan bagi menampung keperluan mendesak bukan sahaja dalam aspek persijilan halal Malaysia bahkan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Seterusnya memperkasakan kembali Majlis Halal Malaysia yang diperkenalkan di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membangunkan industri halal secara komprehensif dan bersepadu.

“Ini membabitkan sekurang-kurangnya 300 institusi baik agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mahupun swasta yang secara langsung terbabit dalam aspek kawal selia, pensijilan, penguatkuasaan dan pembangunan industri halal negara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Kartel tukar daging haram jadi halal

Kartel daging haram: MCW serah memorandum

Daging import haram dijual secara online

Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, kebimbangan dan keraguan orang ramai terhadap status halal serta kebersihan daging import halal yang berada di pasaran termasuklah campur aduk antara daging halal dan haram mestilah ditangani segera oleh pihak kerajaan.

Terdahulu, Sinar membongkarkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang di Senai sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, isu daging seludup itu bukan kali pertama timbul malah berulang kali hingga menimbulkan kekangan dan kelemahan ketara dalam isu penguatkuasaan serta kawal selia industri halal di negara ini.

“Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa kuasa pensijilan halal dan penguatkuasaan halal terletak di bawah bidang kuasa agensi yang berbeza. Bahkan kuasa pensijilan halal ketika ini terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Jakim dan JAIN sedangkan penguatkuasaan pula di bawah pelbagai agensi.

“Ini termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), Kementerian Kesihatan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, dalam isu mengawal selia urusan import bekalan daging ke Malaysia pula bukan hanya terletak di bawah kuasa mutlak Jakim malah pelbagai agensi lain.

“Ini termasuklah Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Polis Pelabuhan,” katanya lagi.

PPIM bongkar aktiviti seludup daging lembu tak halal

PPIM bongkar aktiviti seludup daging lembu tak halal LAPORAN KHAS 23 NOVEMBER 2020 Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempunyai maklumat pengimportan daging sejuk beku dari negara yang diragui status halalnya.Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya mempunyai maklumat dari segi penghantaran, kilang terlibat dan sebagai contoh daging dibawa masuk dari Bolivia yang diragui pensijilan halal dan bukan itu sahaja mereka perlu memiliki borang dan pengesahan tertentu untuk membawa masuk muatan kontena. Ikuti Lapor wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin. #SinarHarian #BeritaSemasa

Posted by Sinar Harian on Monday, November 23, 2020


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!