Daging import haram dijual secara online

Mohd Hafis mahu pihak perlu berkuasa menubuhkan sebuah pasukan untuk memantau status daging yang dijual melalui platform dalam talian bagi memastikan status produk berkenaan.
Mohd Hafis mahu pihak perlu berkuasa menubuhkan sebuah pasukan untuk memantau status daging yang dijual melalui platform dalam talian bagi memastikan status produk berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Penjualan daging yang diragui status halalnya dikesan turut dijual secara berleluasa menerusi platform dalam talian sejak awal tahun ini.

Difahamkan, penjualan daging tersebut mendapat permintaan tinggi kerana harganya lebih murah daripada harga pasaran.

Menurut seorang pengedar daging premium, Mohd Hafis Khairulah, perkara berkenaan didapati berlaku sejak awal tahun ini dan lebih rancak apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.

Jelasnya, antara daging seludup yang didapati mendapat permintaan tinggi dalam talian ialah daging premium seperti daging wagyu.

“Sekarang ini, penyeludup akan menjual produk mereka secara dalam talian. Mereka akan membuka tempahan melalui sosial media seperti contohnya aplikasi WhatsApp.

“Harga yang ditawarkan juga didapati lebih murah daripada harga pasaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini kelmarin.

Beliau berkata, apa yang membimbangkan ialah kebanyakan daging seludup berkenaan didapati tidak melalui proses pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Disebabkan permintaan yang tinggi, penyeludup ini telah mengambil kesempatan dengan menjual daging berkenaan lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Mohd Hafis berpandangan bahawa sebuah pasukan untuk memantau status daging yang dijual melalui platform dalam talian perlu ditubuhkan bagi memastikan status produk berkenaan.

Menurutnya, cara tersebut pada masa yang sama juga akan turut membantu pihak berkuasa bagi mengenal pasti pihak yang melakukan penyeludupan daging haram ke Malaysia.