UMNO tidak perlu jadi jurucakap parti lain - Pemuda UMNO Johor

Pada Jumaat, Ahmad Maslan meminta pengundi UMNO memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada PRN akan datang tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
Pada Jumaat, Ahmad Maslan meminta pengundi UMNO memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada PRN akan datang tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO tidak perlu menjadi jurucakap rasmi kepada parti lain, tegas Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.

Beliau berkata, perkara tersebut adalah tidak wajar walaupun UMNO kini bekerjasama dengan gabungan politik lain dalam Kerajaan Perpaduan.

"Dalam UMNO menguruskan kepentingan politiknya dalam Kerajaan Perpaduan, tidaklah sehingga UMNO perlu menggadaikan prinsip politiknya.

"Kebersamaan kita dalam membentuk Kerajaan Perpaduan, tidaklah sampai ke tahap kita pula jadi jurucakap rasmi kepada parti lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada Jumaat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

Menurut beliau, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama Kerajaan Perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.

Pada Sabtu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching turut menyeru ahli dan penyokong DAP memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO yang merupakan rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN di enam buah negeri akan datang.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh pula percaya penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan boleh membuktikan parti itu bukanlah ‘raksasa anti-Melayu’ seperti yang digembar-gemburkan.

Akmal berkata, sentimen DAP anti-Melayu adalah hasil daripada pemikiran negatif yang ditanam sejak kecil ke dalam fikiran orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN: Ahmad ajak pengundi UMNO pangkah calon DAP

Sukar ubah penyokong terima DAP, tapi tak mustahil - Ahmad Zahid

Janggal, luar biasa UMNO minta sokong DAP - Muhyiddin

PRN: Ahli, penyokong DAP digesa beri undi kepada calon UMNO

'Muhyiddin pernah ajak rakyat sokong DAP' - Sheikh Umar