'Teruja tatap wajah Muhyiddin'

Shafie dan Zalikur yang ditempatkan di PPS Bukit Mentok, Kemaman berkemas untuk pulang ke rumah.
Shafie dan Zalikur yang ditempatkan di PPS Bukit Mentok, Kemaman berkemas untuk pulang ke rumah.
A
A
A

KEMAMAN - Mangsa banjir di Terengganu teruja kerana dapat bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun padang di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.

Zalikur Omar, 63, berkata, dia sangat gembira apabila mendapat tahu pemimpin itu akan datang melawat mangsa banjir.

"Saya gembira sangat bila orang beritahu perdana menteri nak datang. Tak sangka 'orang atas' sanggup turun jenguk kami di sini," kata warga emas itu yang merupakan salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, di sini.

Menurut Zalikur, ia merupakan kali pertama dia berpeluang melihat sendiri Muhyiddin secara dekat dan berasa teruja setelah dapat bertemu dengan pemimpin tersebut.

Tambahnya, keletihan ketika berpindah akibat kediamannya di Kampung Tanjung Bukit Mentok dinaiki air, terubat selepas dapat berjumpa dengan pemimpin kesayangannya itu.

Zalikur Omar
Zalikur Omar

"Saya suka sangat, rasa berbesar hati dan bangga sebab perdana menteri ambil tahu tentang rakyat. Rasa penat berpindah ibarat terubat bila dapat jumpa pemimpin kita ini," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Muhyiddin meluangkan masa hampir satu jam di PPS SK Bukit Mentok bagi menyampaikan kit bantuan banjir dan mendengar taklimat situasi banjir di Terengganu.

Sementara itu suami wanita tersebut, Shafie Mohamad, 65, yang juga seorang nelayan berkata, ia merupakan kali kedua dia berpeluang berjumpa Muhyiddin secara dekat.

"Sebelum ini saya pernah jumpa beliau kira-kira tujuh tahun lalu, sewaktu banjir.

"Alhamdulillah, dapat bertemu sekali lagi pemimpin yang prihatin dengan permasalahan rakyat," katanya.

Shafie Mohamad
Shafie Mohamad

Pasangan itu mula berpindah ke PPS sejak Ahad lalu setelah kediaman mereka dinaiki air.

Ini merupakan kali kedua pasangan itu terpaksa berpindah ke PPS selepas banjir besar melanda Kemaman pada penghujung tahun 2013.