Lebih 30 tahun jaga tanah kubur, Pok Kamal hembus nafas terakhir di Makam Tok Pelam

KUALA TERENGGANU – Penjaga Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang Tok Pelam di sini, Kamarul Bahrin Abdillah, 66, ditemukan meninggal dunia di Makam Tok Pelam yang dijadikan sebagai tempat tinggalnya sejak lebih tiga dekad lalu.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pok Kamal ditemui terbaring tidak bernyawa di sekitar kawasan tanah perkuburan berkenaan kira-kira jam 7 pagi oleh anak lelakinya yang datang mencarinya di lokasi tersebut pada Rabu.
Sepupunya, Wan Faizah Mahmud, 52, berkata, arwah sebelum ini ada mengadu sakit pinggang dan tidak mampu bangun pada Jumaat lalu.
"Saya kebetulan saya ada di sini dan menghubungi ambulans untuk bawa dia ke hospital untuk rawatan.

"Dia dibenarkan pulang pada keesokannya selepas diberi ubat. Selepas keluar hoapital dia nampak boleh berjalan seperti biasa walaupun bertongkat,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu di sini pada Khamis.
Menurutnya, arwah tidak pernah memaklumkan menghidap penyakit serius walaupun sering melakukan kerja berat termasuk mengangkat batu nisan dan menggali kubur.
Wan Faizah berkata, Allahyarham tinggal bersendirian selepas berpisah dengan isteri manakala anaknya menetap jauh.
"Sudah lebih 30 tahun dia di sini. Dahulu dia pernah tinggal di surau tetapi akhirnya menetap di kawasan makam ini.
"Dia bersihkan kubur, cari tapak kosong bila ada kematian dan bantu gali liang lahad. Semua dibuat secara sukarela," ujarnya.

Katanya, arwah turut membantu menguruskan proses pengebumian termasuk memastikan susun atur kubur teratur dan kawasan sentiasa bersih.
"Kalau orang beri upah, dia ambil. Kalau tak beri pun dia tetap buat. Itu memang cara dia," katanya.
Sementara itu, pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Muhammad Qadri Sulaiman Muda, 54, berkata, kehilangan arwah amat dirasai kerana beliau antara individu paling arif mengenai selok-belok tanah perkuburan berkenaan.
"Dia tahu setiap ruang di sini. Kalau ada kematian, dialah yang akan tunjukkan lokasi sesuai untuk digali.
"Sekarang ini memang terasa kosong. Kami juga runsing memikirkan siapa akan ambil alih tugasnya selepas ini," katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Pelam kira-kira jam 2 petang selepas solat Zohor pada Rabu.
Untuk rekod, Makam Tok Pelam merupakan lokasi pengebumian Syeikh Abdullah Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Tok Pelam di Kampung Ladang Tok Pelam, di sini .
Allahyarham meninggal dunia pada 1819 dan dimakamkan di bangunan yang menjadi tempat beliau mengajar agama.
Ringkasan AI
- Penjaga Tanah Perkuburan Islam Kampung Ladang Tok Pelam, ditemukan meninggal di rumahnya di makam setelah tinggal lebih tiga dekad
- Ditemui oleh anaknya pada Rabu selepas keluarga tidak mendengar berita darinya
- Sebelum meninggal, Kamarul mengadu sakit pinggang dan telah dirawat di hospital
- Beliau tinggal bersendirian dan melakukan kerja-kerja pengebumian secara sukarela termasuk menggali kubur
- Kehilangannya dirasakan oleh komuniti kerana pengetahuannya yang mendalam tentang tanah perkuburan dan sumbangannya yang tidak ternilai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
