Terengganu galak pasangan muda miliki ramai anak - Exco

KUALA NERUS – Kerajaan Terengganu menggalakkan pasangan muda memiliki ramai anak memandangkan negeri itu kini berada di ambang untuk diklasifikasikan sebagai negeri tua apabila jumlah penduduk warga emas hampir mencecah 15 peratus daripada keseluruhan populasi negeri ini.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sesebuah negeri akan diiktiraf sebagai negeri tua apabila komposisi penduduk berusia mencapai kadar tersebut.
Beliau berkata, situasi itu menandakan perubahan ketara dalam struktur demografi negeri yang memerlukan penelitian dan tindakan bersepadu semua pihak.
Menurutnya, penurunan kadar kelahiran tidak semestinya berpunca daripada faktor ekonomi semata-mata, sebaliknya lebih berkait dengan tahap kesedaran serta keyakinan pasangan muda dalam membesarkan anak.
"Saya tidak melihat ekonomi sebagai faktor utama. Ia lebih kepada keyakinan dan persepsi pasangan muda terhadap kemampuan mereka sendiri," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Terengganu Hijab Day di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini pada Khamis.
Jelas beliau, berdasarkan pemerhatian terhadap pasangan berpendidikan tinggi dan berpendapatan tetap, kebanyakannya memilih untuk mempunyai tiga atau empat orang anak sahaja walaupun memiliki kewangan yang stabil.
"Jika dilihat dari sudut pendapatan, ramai suami isteri bekerja dan memperoleh gaji yang baik. Dengan pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit, secara teorinya tidak mustahil untuk membesarkan lapan atau sembilan orang anak.
"Namun mereka berasa kurang yakin dan sering memberi alasan seperti saiz rumah serta perancangan kewangan," katanya.
Maliaman turut berkongsi pengalaman ketika melawat beberapa negara kurang membangun yang masih mencatatkan kadar kelahiran tinggi walaupun keadaan ekonomi rakyatnya jauh lebih rendah.
Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa program bersama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri (YPKN) baru-baru ini bagi merangka pendekatan bersesuaian.
"Insya-ALLAH, kita akan menyusun beberapa program dan meneliti peranan YPKN dalam memperkenalkan inisiatif yang dapat menggalakkan golongan muda berkahwin serta mempunyai lebih ramai anak," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Terengganu menggalakkan pasangan muda untuk memiliki ramai anak kerana negeri itu berisiko menjadi negeri tua
- Terdapat penurunan kadar kelahiran bukan hanya disebabkan oleh faktor ekonomi tetapi juga kerana kurangnya keyakinan pasangan muda
- Pasangan berpendapatan tinggi dan berpendidikan tinggi sering memilih untuk mempunyai tiga atau empat anak sahaja walaupun mampu
- Maliaman Kassim mencontohkan negara kurang membangun dengan kadar kelahiran tinggi meskipun ekonomi rendah
- Program bersama Yayasan Pembangunan Keluarga dan Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri akan diatur untuk menggalakkan perkahwinan dan kepelbagaian anak di kalangan muda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
