Kit Siang dapat Tan Sri, Mohd Puad ucap tahniah

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengucapkan tahniah kepada Bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang kerana dianugerahkan Tan Sri.

Ujar Mohd Puad, penerimaan pingat itu merupakan pengiktirafan karier terhadap Kit Siang di peringkat nasional.

Jelas beliau, meskipun` selama ini terdapat berbeza pendapat antara mereka berdua, perselisihan itu tidak membawa kepada maki hamun dan penggunaan kata-kata kesat.

“Setinggi tahniah. Itu satu pengiktirafan. Dia bersara politik dengan ‘happy ending’ ”.

“Politik Malaysia semakin berubah. Dulu lawan sekarang kawan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) ialah 25 individu lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Patmanathan; Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh; Mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Urusan Kumpulan Engtex Group Berhad, Datuk Ng Hook.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan Maxim Global Berhad, Datuk Seri Gan Seong Liam; Pengerusi DPS Resources Berhad, Datuk Seri Sow Chin Chuan; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad, Datuk Seri Dr Nik Norzul Thani N Hassan Thani dan Komposer Datuk Seri Dr Ahmad Khan Nawab Khan.

Dalam pada itu, Mohd Puad berpesan, meskipun Kit Siang telah dianugerahi gelaran berkenaan, ia bukan lesen untuk beliau terlepas daripada sebarang kritikan.

“Itu tidak bermakna pendapat Tan Sri tidak boleh disanggah. Macam Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Annuar Musa. Lawan tetap lawan,” tambahnya.