Jabatan Kesihatan Johor guna karikatur sebar maklumat Covid-19

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dalam usaha menyampaikan mesej kesihatan menangani Covid-19 secara lebih berkesan menerusi media sosial, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil pendekatan santai menggunakan karikatur.

Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu berkata, karikatur berkenaan yang antaranya menerangkan mengenai penjarakkan fizikal, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan majlis perkahwinan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipaparkan dalam akaun rasmi Facebook JKNJ.

Menurutnya, penggunaan karikatur itu dilihat lebih mudah difahami masyarakat.

“Penggunaan karikatur ‘comel’, grafik yang berwarna-warni dan dialog ringkas, dilihat bersesuaian dengan sasaran mesej infografik berkenaan yang ditujukan kepada masyarakat terutama kanak-kanak dan warga emas.

“Ini kerana golongan itu berisiko tinggi mendapat komplikasi disebabkan faktor umur terutama warga emas yang berpenyakit kronik seperti sakit buah pinggang, jantung, darah tinggi dan kencing manis,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Senada dengan Dr Aman, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dalam kenyataan berkata, jangkitan kepada warga emas boleh menyebabkan komplikasi teruk dan boleh membawa maut kerana sistem ketahanan badan mereka lebih rendah berbanding golongan muda.

"Justeru, pentingnya menjaga jarak fizikal, sentiasa memakai pelitup muka, elakkan bersalaman, berpelukan atau bersentuhan apabila berjumpa," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: