Kerajaan baharu Perak: Persepakatan ikhlas atau bersifat ‘kosmetik’?

Kejayaan UMNO, Pas dan Bersatu mencapai kesepakatan membentuk kerajaan baharu Perak selepas tergantung selama seminggu bagaimanapun masih mengundang kecurigaan rakyat sama ada pakatan itu benar-benar utuh atau bersifat 'kosmetik'.
Kejayaan UMNO, Pas dan Bersatu mencapai kesepakatan membentuk kerajaan baharu Perak selepas tergantung selama seminggu bagaimanapun masih mengundang kecurigaan rakyat sama ada pakatan itu benar-benar utuh atau bersifat 'kosmetik'.
A
A
A

SETELAH seminggu krisis penubuhan kerajaan baharu Perak berlangsung, akhirnya kemelut itu selesai di meja rundingan semalam.

Susulan peletakan jawatan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada hari Sabtu lalu, ketiga-tiga pemimpin utama terlibat penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akhirnya mencapai kata sepakat.

“Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan Pengerusi Barisan Nasional (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah bersetuju untuk mencadangkan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan Sultan Perak,” kata kenyataan kepimpinan utama kerajaan PN dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, usaha mencapai kesepakatan mutlak dalam membentuk kerajaan baharu Perak diterajui Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar baharu, sebenarnya melalui jalan berliku.

Bermula usul undi percaya terhadap kepimpinan Ahmad Faizal dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sendiri yang menyaksikan beliau gagal mendapat sokongan majoriti dalam Sidang DUN Jumaat lalu, konflik politik membabitkan UMNO, Pas dan Bersatu di Perak semakin terserlah.

Dengan termeterainya pembentukan kerajaan baharu antara parti-parti asal dalam kerajaan PN, pastinya melegakan rakyat Perak. Namun persoalan sebenar adalah kerjasama yang terjalin itu benar-benar utuh atau bersifat kosmetik?

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Hoo Kee Ping berkata, kerjasama tidak kukuh di antara UMNO, Bersatu dan Pas ketika ini tidak menghairankan kerana ianya sekadar terbentuk hasil konflik perpecahan antara parti-parti dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

“Lebih menarik, semasa kerajaan PN dilahirkan, benih perpecahan antara Bersatu dan UMNO juga sudah wujud. Cuma UMNO dengan Pas sahaja tiada masalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Kee Ping berkeyakinan konflik dalaman di antara tiga parti utama Melayu itu tidak kekal dan hanya bersifat ‘superficial’kerana hanya berkisar konflik kepentingan peribadi yang boleh diselesaikan kesemua parti terlibat.

Menurutnya, UMNO secara terbuka menggunakan isu kemelut Perak sebagai ‘amaran’ kepada Muhyiddin dan Bersatu supaya tidak menekan kepimpinan parti itu dengan kes-kes pendakwaan mahkamah yang dibangkitkan pada zaman kerajaan PH.

“Kita dapat lihat Muhyiddin terpaksa mengalah dengan tuntutan UMNO berdasarkan kes Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah baru-baru ini dan Menteri Besar Johor daripada UMNO tidak digulingkan ADUN-ADUN Bersatu pada usul Belanjawan Negeri 2021, Ahad lalu.

“Bagi saya, aspirasi paling penting perlu dikongsi ketiga-tiga parti adalah memenuhi objektif bersama memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen. Kesemua mereka mengetahui hakikat kerjasama kali ini tidak boleh bersifat kosmetik.

“Pada PRU14, lebih 70 peratus undi Melayu diperolehi UMNO dan Pas. Sekiranya undi itu diadunkan sebaiknya melalui kerjasama UMNO, Pas dan Bersatu di samping mengekalkan kerjasama dengan parti-parti komponen BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekurang-kurangnya 135 kerusi Parlimen sudah berada dalam genggaman,” katanya.

Kee Ping turut memberi amaran kepada UMNO agar tidak mengulangi gerakan politik di Perak pada masa hadapan kerana langkah itu akan menjejaskan kerjasama politik dengan kingmaker dalam meraih undi Melayu, Pas.

“Kalau UMNO berterusan ‘tikam’ Muhyiddin, Pas akan keluar (Muafakat Nasional). Saya yakin kumpulan Ahmad Zahid dan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri tidak mahu uji kesetiaan Pas.

“Kena ingat UMNO kalah PRU14 kerana Pas berjaya curi 20 peratus undi Melayu. Pas sebenarnya kingmaker penentu kejayaan parti UMNO dan Bersatu pada PRU15,” katanya.

Cabaran besar Saarani

Mengulas kemampuan Menteri Besar baharu dalam memastikan kerajaan baharu Perak kekal utuh, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Tan Sri Nordin Kardi berpandangan, Saarani sememangnya berdepan cabaran besar untuk kembali mengamankan semua pihak, termasuk ADUN-ADUN di dalam partinya sendiri.

Menurutnya, ADUN Kota Tampan itu perlu bijak mengimbangkan fokus pembangunan negeri Perak dengan strategi meraih sokongan dalam kalangan ADUN Perak bagi memastikan kedudukan beliau terjamin dan kerajaan tidak rapuh sekurang-kurangnya sebelum PRU15.

“Datuk Saarani tidak boleh tadbir mengikut pemikiran dia sahaja, sebaliknya beliau perlu sensitif kepada suara ADUN-ADUN lain dan rakyat kerana tanpa sokongan mereka, beliau pun tidak boleh menjadi Menteri Besar.

“Beliau perlu bijak menggunakan pengalaman politik untuk melayan kehendak semua pihak terutama dalam aspek pemberian jawatan Exco tetapi kalau sekadar menambah bilangan jawatan Exco hanya untuk memenuhi kehendak parti, itu pun akan merugikan beliau,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan UMNO, Pas dan Bersatu menyelesaikan konflik pembentukan kerajaan negeri baharu di Perak secara musyawarah memberi kelegaan besar kepada Veteran UMNO.

Di sebalik persepakatan ketiga-tiga parti Melayu berkenaan akhirnya menunjukkan jiwa besar dengan mementingkan masa depan rakyat Perak.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa turut mengharapkan keikhlasan dan semangat setiakawan antara mereka benar-benar ditonjolkan dan dikekalkan.

“Ini penting kerana kita tidak mahu rakyat tuduh kerajaan sedia ada pagi cakap lain, malam cakap lain...cakap tidak serupa bikin,” katanya.

Dari sudut pandangan berbeza, seorang pemimpin Bersatu Pusat bagaimanapun masih bersikap skeptikal terhadap tindak-tanduk UMNO pada masa hadapan.

Tanpa berselindung, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mendakwa akan ada lagi episod ‘tikam belakang’ daripada UMNO untuk menjatuhkan kerajaan PN selepas negeri Perak, pada pertengahan bulan Disember ini.

“Proses pengundian pada bacaan ketiga usul Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat adalah paling penting dan saya dengar sudah ada perancangan sabotaj daripada segelintir pemimpin UMNO yang mungkin menyerupai gerakan politik menjatuhkan Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal),” katanya.