X

Kindly register in order to view this article
!

Pandemik Covid-19 ubah sistem pendidikan

Wacana Al-Quran yang diadakan di Karangkraf yang membincangkan tajuk Cabaran Pendidikan Norma Baharu, dari kiri, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, Guru Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Abdul Muiez Ruslee, Penceramah Bebas, Dr Nur Mohammad Hadi dan Johan Tilawah Asia di Brunei 2015 dan Thailand 2016, Ustaz Husaini Mahmur. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
SHAH ALAM – Masyarakat global terpaksa mengubah normal dan gaya hidup mereka sekali gus keluar daripada kebiasaan akibat pandemik Covid-19.

Struktur pembelajaran dalam bidang pendidikan juga tidak terkecuali kesan daripada virus itu yang berpaksikan guru-murid secara langsung menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian.

Guru bimbingan dan kaunseling, Abdul Muiez Ruslee berkata, dengan kehadiran pelbagai teknologi pendidikan masa kini, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak lagi semestinya berlaku secara bersemuka lebih-lebih lagi dengan keadaan sukar pada hari ini.

“Ramai yang salah anggap sesi PdP dihentikan selepas sekolah ditutup namun sebaliknya berlaku. Sesi pembelajaran berjalan seperti biasa tetapi dalam keadaan normal baharu.

“Proses pembelajaran dan pengajaran yang dahulunya berlaku secara bersemuka kini bertukar di alam maya untuk memastikan kesinambungan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran bertajuk Cabaran Pendidikan Norma Baharu yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf semalam.

Beliau bergandingan dengan penceramah bebas, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan sebagai moderator manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur yang membacakan surah Al-Zumar.

Abdul Muiez Ruslee
Abdul Muiez Ruslee

Menurutnya, pandemik Covid-19 turut memberi anjakan baharu kepada semua guru.

“Jika dahulu, guru-guru lebih senang mengajar secara tradisional, bersemuka dengan pelajar di kelas menggunakan kapur dan papan hitam manakala kertas majung sebagai alat bantuan pengajaran.

“Sejak kerajaan memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap pertama, pada masa itu, warga pendidik berasakan perubahan paradigma amalan yang sukar dilalui kerana wajib menggunakan pengajaran maya.

“Namun kini semuanya berubah 360 darjah. Mahu tidak mahu guru-guru terpaksa mengubah cara pengajaran. Guru perlu ikut peredaran zaman, kena ‘upgrade’ telefon supaya lebih terkini untuk digunakan dalam sesi pengajaran secara atas talian di alam maya,” katanya.

Tambah Abdul Muiez, pengaplikasian PdP secara maya memerlukan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan guru mahupun pelajar.

“Kita bersyukur apabila Akademi Youtuber Malaysia ada mengajar dan bertukar-tukar ilmu dengan guru-guru bagaimana mengajar di dalam kelas menggunakan kaedah atas talian.

“Jika sebelum ini, ada segelintir guru dan pelajar sukar menerima kaedah ini, namun sekarang mereka lebih kreatif. Mereka (guru dan pelajar) mendapat pengalaman berinteraksi, berkomunikasi dan menonton video dalam membina pengajaran mantap dalam proses PdP yang berkesan.

“Malah guru-guru di akademi ini juga ada menyediakan tuisyen secara atas talian kepada pelajar-pelajar dan setakat ini lebih 100,000 tontonan sudah dicapai,” katanya.

Dalam pada itu katanya, proses PdP tidak akan berkesan tanpa bantuan ibu bapa untuk menyelesaikan tugasan pelajar.

“Komunikasi berterusan dengan guru dan sekolah serta sikap saling menghormati amat penting kerana ketika ini guru benar-benar terpaksa bergantung kepada bantuan dan kerjasama ibu bapa untuk memastikan anak mengikuti semua pembelajaran, tugasan dan penilaian dalam talian yang disediakan.

“Tanpa kerjasama ibu bapa, akan berlaku keadaan pelajar tidak mengikuti pembelajaran disediakan tanpa guru dapat berbuat apa-apa, sekali gus merugikan murid itu sendiri.

“Seeloknya ibu bapa membantu memotivasikan anak dengan menjelaskan latihan diberi antara aktiviti pembelajaran untuk membantu agar lebih memahami pelajaran,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!