Sila log masuk terlebih dahulu.

GLC gesa kerajaan Sabah peka masalah rangkaian internet

Ghazalie Ansing
Ghazalie Ansing
A
A
A

KOTA KINABALU - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menggesa kerajaan Sabah peka dengan keadaan semasa rangkaian internet di negeri ini.

Kejadian tiga pelajar cedera selepas terjatuh dari jambatan gantung ketika cuba mendapatkan rangkaian internet di Kundasang pada Isnin lalu menunjukkan betapa infrastruktur digital di Sabah amat ketinggalan.

Pengerusi Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB), Ghazalie Ansing berkata, ketika negeri lain bersedia untuk melakukan peralihan daripada 4G, statistik menunjukkan 52 peratus pelajar di Sabah mengalami kekurangan akses internet menyebabkan pelajar gagal mengikuti kelas dalam talian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dalam isu kemiskinan digital, inilah masanya kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan industri telekomunikasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pelajar cedera jatuh jambatan ketika dapatkan internet

"Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun tahun depan adalah satu pendekatan yang penting dalam usaha untuk mendigitalkan Malaysia sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Sabah berkata, umum sudah sedia maklum aspirasi negara melalui Jendela adalah untuk menaik taraf menara telekomunikasi kepada capaian 4G serta menambah jumlah menara telekomunikasi di negeri ini supaya mendapat capaian internet yang lebih tinggi.

"Pelaksanaan Jendela mampu mencapai objektifnya jika kerajaan Sabah melalui agensinya mengambil peranan utama dan terlibat secara langsung dalam projek pembangunan digital negeri.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri harus mempunyai sistem pemantauan menara telekomunikasi sendiri untuk memantau kerja-kerja lapangan dan kemampanan menara telekomunikasi yang sedia ada.

"Sistem ini juga perlu supaya kerajaan negeri dapat melihat kadar permintaan-penawaran kapasiti internet di setiap lokaliti serta pelan Jendela dapat memanfaatkan rakyat secara menyeluruh dan berkesan," katanya.

Sehubungan itu, Ghazalie berkata, CTTSB selaku sebagai anak syarikat Warisan Harta milik penuh kerajaan negeri akan berganding bahu dan membantu usaha meningkatkan capaian internet di negeri ini.

"Sebagai pemilik dan pengurus kepada 257 menara telekomunikasi di negeri ini, CTTSB merupakan salah satu operator terbesar dalam industri telekomunikasi negara, justeru kepakaran yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya demi membantu kerajaan Sabah.

"CTTSB akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan agar pelan melebarkan jalur internet ke seluruh pelosok negeri dapat direalisasikan.

"Bagi mencapai aspirasi ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menyediakan peruntukan tinggi dan secukupnya kepada Sabah serta akan diuruskan oleh kerajaan negeri.

"Kita tidak mahu berulang lagi insiden seperti jambatan gantung runtuh atau rakyat terpaksa memanjat pokok dan bumbung bangunan demi capaian internet lebih baik, ini masanya kerajaan negeri Sabah lebih peka dan bertanggungjawab demi rakyat," katanya.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan lapan remaja terjatuh dari sebuah jambatan gantung setinggi 18 meter dari paras sungai di Kampung Gusi ketika cuba mendapatkan rangkaian internet di kawasan itu untuk mengikuti kelas dalam talian.

Akibat kejadian itu, tiga daripadanya iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut cedera termasuk patah bahagian paha, betis dan cedera pada tulang belakang badan.