Perlu kebenaran import ukiran kayu

Mohamaddin (dua, kiri) melihat pelatih Desa Ukiran Kayu Besut menghasilkan ukiran kayu di pusat latihan tersebut di Kampung Raja, petang tadi.
Mohamaddin (dua, kiri) melihat pelatih Desa Ukiran Kayu Besut menghasilkan ukiran kayu di pusat latihan tersebut di Kampung Raja, petang tadi.
A
A
A

BESUT- Kerajaan sedia mengkaji cadangan untuk mengenakan kawalan terhadap import produk ukiran kayu bagi memastikan ukiran kayu dan pengukir tempatan tidak terjejas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kementerian merancang mengenakan larangan kemasukan produk tersebut ke negara ini tanpa kebenaran.

Menurutnya, mana-mana pihak yang ingin mengimport sebarang produk ukiran kayu selepas ini mungkin perlu mendapat surat kebenaran daripada Pejabat Kraftangan Malaysia terlebih dahulu.

“Barangan tersebut boleh dirampas oleh kastam di pintu masuk ke negara ini sekiranya tidak ada surat kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Usahawan Kraf Daerah Besut di Balai Seni Ukir Besut, di sini, petang tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, CIk Saraya Arbi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) kementerian sama, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Mohamaddin berkata, bagaimanapun peraturan tersebut akan dibincang terlebih dahulu dengan beberapa kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan sebelum dibawa ke kabinet.

“Kita akan usahakan secepat mungkin supaya peraturan baru ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu sebelum itu Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir) merayu kerajaan mengambil langkah perlu termasuk mengawal import produk ukiran dari luar negara seperti dari Thailand dan Indonesia ke negara ini.

Kemasukan produk tersebut telah menjejaskan jualan produk tempatan yang lebih berkualiti dan pada masa sama akan menyebabkan industri ukiran kayu bertambah suram.