Tayangan Upin Ipin di Indonesia tidak terjejas - Burhanuddin

Upin Ipin (Gambar kecil: Burhanuddin Md Radzi)
Upin Ipin (Gambar kecil: Burhanuddin Md Radzi)
A
A
A

TAYANGAN siri animasi Upin Ipin di saluran televisyen Indonesia tidak terjejas meskipun wujud gesaan daripada Gabenor Bali Wayan Koster agar pelajar di Bali berhenti menonton rancangan tersebut.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, beliau mengambil maklum mengenai perkembangan tersebut, namun percaya ia tidak akan memberi kesan terhadap sambutan penonton dan populariti rancangan animasi nombor satu di republik itu.

Menurutnya, kandungan rancangan Upin Ipin itu sendiri telah memberi banyak manfaatkan kepada penonton menyebabkan ia mampu berada pada tahap sekarang.

"Rancangan Siri Animasi Upin Ipin hanya ditayangkan di MNC TV, Indonesia sejak sejak tahun 2010 lagi ketika itu saluran dikenali sebagai TPI dan kini ia disiarkan selama lima jam sehari, tujuh kali seminggu.

"Saya dah semak dengan pihak pengurusan TV dan dimaklumkan bahawa berita tersebut tidak akan menjejaskan tayangan Upin Ipin.

"Tak ada isu...dan saya percaya berita tu tak jejaskan populariti rancangan Upin Ipin di sana...tambahan pula gesaan tersebut hanya di Bali, bukan seluruh Indonesia," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Media Indonesia melaporkan, Gabenor Bali Wayan Koster menggesa pelajar di Bali berhenti menonton Upin Ipin, sebaliknya mengutamakan menonton filem dan kartun tempatan.

"Orang muda biasanya suka menonton, animasi apa yang datang dari Malaysia kan? Ya, Upin Ipin. Jangan kita tonton lagi.. Lebih baik sokong filem yang memfokuskan kepada tradisi dan budaya kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Burhanuddin dalam pada itu menegaskan, rancangan Upin Ipin memiliki keistimewaan tersendiri yang menyebabkan ia amat sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Kerana itu ujarnya, siri animasi Upin Ipin telah memenangi juara kartun asing yang disayangi selama lima tahun berturut-turut anjuran Komisi Penyiaran Indonesia.

"Kandungan rancangan Upin Ipin lebih banyak pendedahan mengenai budaya, ketimuran, dan pengajaran di dalamnya.

"Tidak seperti drama-drama biasa dan sesuai untuk seluruh keluarga. Di Indonesia, yang tonton semua bukan budak-budak sahaja tapi mereka tonton bersama keluarga," katanya.