Parti Kerajaan Perpaduan alu-alukan untuk berdamai

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Mohd Razlan, Wei Kiat
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Mohd Razlan, Wei Kiat
A
A
A

SHAH ALAM - Parti komponen Kerajaan Perpaduan sentiasa mengalu-alukan usaha untuk pendamaian dengan parti pembangkang demi kestabilan politik yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, oleh itu sebarang bentuk ‘politiking sempit’ perlu segera dihentikan selepas berakhirnya pilihan raya negeri (PRN).

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga sudah memohon ruang perbincangan dengan pembangkang termasuk ketika di awal penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Cuma setakat ini kami tidak nampak usaha pihak pembangkang untuk bergerak ke hadapan pada masa itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Isnin dilaporkan memaklumkan bahawa beliau sudah bersedia untuk membuka lembaran baharu hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebelum itu turut mengulangi gesaan agar Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) menandatangani perjanjian damai untuk memastikan kestabilan politik selepas tamat PRN.

Dalam pada itu, Wei Kiat yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang menegaskan, pihak Kerajaan Perpaduan sentiasa terbuka dalam usaha mewujudkan kestabilan politik yang akan memberi kesan positif kepada negara.

“Ini masanya untuk semua parti berhenti memainkan agenda politik sempit seperti mempergunakan isu 3R (agama, raja dan kaum) dan perlu memberi tumpuan kepada isu-isu penting seperti ekonomi dan pembangunan rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut berhubung cadangan Bersih supaya kedua-dua pihak menandatangani perjanjian damai, Wei Kiat berkata, kerajaan Pusat sememangnya telah bersedia dan ia ketika ini hanya bergantung kepada kesediaan pembangkang untuk berbuat demikian.

“Perkara ini perlukan perbincangan dan persetujuan daripada kedua-dua pihak seperti kerajaan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lakukan sebelum ini dengan Pakatan Harapan (PH). Lepas kedua-dua pihak bersetuju barulah dokumen itu ditandatangani,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menegaskan, kerajaan persekutuan hari ini yang mempunyai dua per tiga majoriti di Parlimen sudah terbukti memiliki kestabilan politik sekiranya pembangkang menghormati keputusan rakyat.

“Untuk mewujudkan sebuah negara demokrasi, kestabilan ini ada dua maksud, satu mempunyai majoriti besar dan satu lagi mempunyai majoriti dua per tiga. Jadi setelah lengkap pilihan raya penggal ke-15 ini, semua negeri dah membuat keputusan termasuk kerajaan Persekutuan.

“Keputusan rakyat adalah memberi kuasa kepada parti-parti dan ahli Parlimen untuk membuat keputusan di dalam penubuhan kerajaan jadi hari ini keputusannya adalah dua per tiga dalam Parlimen,” kata beliau.

Mengenai cadangan Bersih supaya Kerajaan Perpaduan dan PN menandatangani perjanjian damai pula, Mohd Razlan memberitahu, perjanjian damai itu boleh dibuat sekiranya ia hanya bersifat satu ‘aku janji’ dan tidak melibatkan perbelanjaan duit rakyat, bajet Parlimen atau ganjaran jawatan.