204 syarikat berkaitan hotel, resort gulung tikar

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 204 syarikat berkaitan pelancongan dan perhotelan 'gulung tikar' sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan antara Mac hingga Oktober lalu.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 77 syarikat berkaitan industri hotel dan resort membabitkan kod 55101 hingga 55109 menamatkan perniagaan sejak Mac hingga Oktober tahun ini manakala 32 syarikat terbabit dalam penggulungan oleh mahkamah dan penggulungan secara sukarela.

Menurutnya, sebanyak 57 syarikat dengan kod 79110 iaitu 'travel agency avtivities', kod 79120 iaitu 'tour operator activities' dan kod 79900 iaitu 'other reservation services and related activities' sudah menamatkan perniagaan masing-masing.

“Manakala penggulungan oleh mahkamah dan penggulungan secara sukarela untuk syarikat dengan kod sama adalah sebanyak 38 syarikat.

“Pada masa sama, jumlah syarikat pengusahaan pelancongan yang memohon lesen baharu dan diluluskan dari Mac hingga 31 Oktober 2020 sebanyak 135 syarikat," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) meminta kerajaan menyatakan jumlah hotel dan syarikat pelancongan yang gulung tikar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac tahun ini.

Dalam pada itu, Nancy memaklumkan bahawa kerajaan telah mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi untuk meringankan beban rakyat dan kelangsungan perniagaan termasuk penggiat industri pelancongan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga mengumumkan pelanjutan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara sehingga 31 Disember 2021 bagi merancakkan pelancongan domestik negara.

Artikel Berkaitan:

“MOTAC turut menyediakan kemudahan pembiayaan seperti Tabung Infrastruktur Pelancongan (TIP) menerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) yang diuruskan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) bagi membantu pengusaha pelancongan untuk membangunkan dan mengembangkan produk dan projek pelancongan.

“Inisiatif ini boleh membantu penggiat industri pelancongan dan yang berkaitan untuk terus mampan dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini,” katanya.