Kecuaian majikan punca pertambahan kluster

Sebanyak sembilan kluster wabak Covid-19 di tapak pembinaan dikenal pasti di Sabah setakat ini.
Sebanyak sembilan kluster wabak Covid-19 di tapak pembinaan dikenal pasti di Sabah setakat ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kegagalan pekerja di tapak pembinaan melakukan penjarakkan fizikal serta keadaan tempat tinggal pekerja yang sesak antara faktor menyebabkan wujud sebanyak sembilan kluster membabitkan pekerja di tapak pembinaan di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kecuaian majikan dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi turut akan merugikan perniagaan mereka apabila tapak pembinaan ditutup dan menyebabkan kelewatan terhadap kerja pembinaan.

"Sebanyak sembilan kluster di tapak pembinaan dikenal pasti di Sabah setakat ini iaitu membabitkan seramai 326 individu dijangkiti positif koronavirus (Covid-19).

"Jumlah itu membabitkan seramai 98 warga asing termasuk seorang warga China, 17 warga Filipina dan 80 adalah warga Indonesia manakala 12 lagi warga tempatan.

"Kegagalan majikan memastikan pekerja mengikut SOP yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyebabkan tindakan terpaksa diambil iaitu dengan menutup tapak pembinaan sehingga pihak jabatan kesihatan berpuas hati majikan mengambil langkah yang perlu untuk keselamatan pekerja," katanya pada sidang media di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sinar Harian berhubung timbul pelbagai kluster membabitkan tapak pembinaan di Sabah sejak kebelakangan ini.

Beliau dalam pada itu meminta pihak majikan mengambil beberapa langkah bagi memastikan kluster di tapak pembinaan tidak berterusan wujud di Sabah.

"Antaranya majikan harus menyediakan kemudahan tempat tinggal pekerja yang sesuai dengan kemudahan penjagaan kebersihan diri dan tidak bersesak.

Artikel Berkaitan:

"Melakukan saringan Covid-19 ke atas kakitangan sebelum diambil bekerja, menyediakan kemudahan pemeriksaan suhu dan melaporkan kesihatan setiap hari sebelum memulakan kerja dan melarang kakitangan yang mempunyai simptom daripada hadir bekerja serta mendapatkan rawatan kesihatan dengan segera," katanya.

Terdahulu, Masidi turut memaklumkan kes mengikut daerah hari ini iaitu Tawau mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 169 kes, diikuti Lahad Datu (80), Kota Kinabalu (44), Sandakan (21), Kudat (20), Tuaran (12), Ranau (12), Penampang (10) dan Putatan (lima).

Semporna dan Papar masing-masing mencatat empat kes, Kota Belud (dua) manakala Beluranm, Keningau, Pitas, Kota Marudu masing-masing catat satu kes.