MYFutureBilik bantu pencari kerja dapatkan tempat tinggal

Sivakumar (tiga, kanan) ketika melancarkan inisiatif ‘MYFutureBilik’ untuk pencari kerja pada Jumaat.
Sivakumar (tiga, kanan) ketika melancarkan inisiatif ‘MYFutureBilik’ untuk pencari kerja pada Jumaat.
A
A
A

KULIM - ‘MYFutureBilik’ dilancarkan untuk memperluas aksesibiliti pencari kerja dalam mencari pilihan sewaan bilik yang berpatutan, selesa dan selamat.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, program itu menawarkan pelan tanpa deposit bagi meringankan bebanan kewangan individu yang masih dalam fasa awal memulakan kerjaya.

Menurutnya, individu yang layak berpeluang menerima dua kali ganda kredit melalui program Flexi Rent2Own, yang memudahkan pencari kerja mencari tempat tinggal.

“Program kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan iBilik, Homevest melalui portal MYFutureJobs ini turut menyediakan Perlindungan Insurans Kemalangan komprehensif sehingga RM10,000.

“Ini termasuk tawaran baucar pergigian, makanan dan kemudahan gim secara tahunan atau bulanan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Myfuturejobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Negeri Kedah di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah di sini pada Jumaat.

Sivakumar turut menggalakkan majikan menjayakan 'kempen ambil pekerja lokal' dengan menggaji pekerja tempatan.

“Kempen ini bermula sejak 4 Jun lalu, dengan mengambil tenaga kerja tempatan, kita beri peluang kepada mereka untuk kehidupan lebih baik menerusi pekerjaan stabil. Ia dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka seterusnya kembali menyumbang kepada peningkatan laba syarikat dan pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya.

Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Negeri Kedah di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim mendapat sambutan.
Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Negeri Kedah di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim mendapat sambutan.

Menurutnya, majikan juga diminta tidak meminggirkan program ‘MYMid Career 40’ untuk menggaji pekerja lingkungan umur 40-an untuk bantu golongan itu mendapat tempat semula dalam pekerjaan.

“Golongan ini masih produktif dan berpengalaman luas. Seramai 12,345 individu berusia 40 tahun ke atas berjaya dibantu bekerja semula di seluruh negeri sejak Januari hingga 14 Julai tahun ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 478 orang dibantu bekerja semula di Kedah,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang diperkenalkan 1 Disember tahun lalu untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan saat menguruskan rumah tangga harus diberikan tumpuan.

“Sehingga 23 Julai, seramai 181,017 suri rumah di seluruh negeri dilindungi SKSSR. Di Kedah, melibatkan 7,017 orang dilindungi bawah skim ini.

“Saya harap jumlah ini dapat ditingkatkan lagi dengan penglibatan wanita serta sokongan suami untuk mencarum SKSSR. Dengan hanya bayar RM120 setahun, jadikan skim ini sebagai perlindungan wajib masa depan untuk hadapi bencana,” ujarnya.

Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 menyaksikan 4,000 jawatan kosong ditawarkan menerusi temu duga terbuka, disertai 50 majikan.

Sepanjang 2022, seramai 11, 416 individu berjaya dibantu mendapatkan pekerjaan di seluruh negara menerusi portal MYFutureJobs.

Bagi Januari hingga 14 Julai tahun ini, seramai 3,138 individu berjaya memperoleh pekerjaan di Kedah.