AES: Mahfuz tak mahu layan kritikan Najib

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar menegaskan beliau enggan melayan kritikan mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang disuarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi laman Facebooknya, Najib mengkritik Mahfuz selepas kerajaan memutuskan untuk menambah 11 buah kamera AES dan mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Pokok Sena itu tidak mempertikaikan keputusan itu seperti dilakukannya semasa zaman BN dulu.

Begitupun, Mahfuz ketika dihubungi Sinar Harian dilihat ‘tidak ambil pusing’ kritikan Ahli Parlimen Pekan itu dan menyatakan beliau ‘tidak mahu melayan orang yang kecewa’.

“Tidak mengapalah, biarlah dia. Saya tak mahu layan orang yang dah kecewa, yang tak tahu nak buat apa.

“Biarlah kat dia,” katanya ringkas ketika diminta mengulas kritikan Najib kepadanya.

Semalam, Najib membidas keputusan kerajaan yang mahu menambah lagi 11 buah kamera AES di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) serta tidak lagi memberi diskaun saman.

Bahkan, beliau turut mempersoalkan kos untuk setiap kamera tersebut yang bernilai RM200,000 seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang lebih mahal berbanding RM170,000 pada zaman pemerintahan BN.

Menurutnya, dulu beberapa pemimpin PH bersungguh-sungguh memperjuangkan agar kerajaan memansuhkan AES namun selepas mereka menjadi kerajaan, tidak pula mereka menghapuskannya.

Artikel Berkaitan:

“Dulu mereka sanggup berguling dan berdemo mendakwa kerajaan BN buat AES untuk menzalimi rakyat dan kita terlebih bayar 10 kali ganda untuk kamera.

“Bersungguh-sungguh mereka perjuangkan untuk mansuhkan sistem AES. Selepas jadi kerajaan, mereka tidak hapuskan AES sebaliknya mereka tambahkan jumlah kamera AES dengan banyak,” tulis beliau dalam laman Facebooknya.