X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Enam lagi kluster baharu dikesan

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan enam lagi kluster baharu wabak koronavirus (Covid-19) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Nahaba dikesan di Kota Belud, Sabah yang mencatatkan 25 kes positif setakat ini.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-35,808) dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 4 November lalu.

“Kesemua mereka yang positif dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Seri Bayu Pirasan di Kota Belud,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini.

Bagi kluster kedua pula iaitu Kluster Numbak yang dikesan di Kota Kinabalu, Sabah, Dr Noor Hisham berkata, kes membabitkan kes indeks (ke-22,036) yang dikesan positif wabak itu hasil saringan kemasukan ke wad di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Oktober lalu.

“Hasil saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh lagi kes positif Covid-19,” katanya.

Di Selangor pula, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Perigi dikesan di Klang yang mencatatkan 39 kes positif Covid-19 setakat ini dan kes dikenal pasti hasil saringan di tempat kerja pada 15 Oktober lalu.

Kluster baharu yang turut dikesan adalah Kluster Seri Terapi di Kepong, Kuala Lumpur dan Daerah Alor Gajah di Melaka.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks (ke-36,180) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 November dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat seterusnya mengesan 11 lagi kes positif. Sehingga hari ini, sejumlah 126 individu disaring dengan 12 kes dikesan positif Covid-19, lapan individu negatif dan 106 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, di Johor, Kluster Padang dikesan melibatkan Daerah Kota Tinggi yang dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 5 November lalu dan dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom di Kluang.

“Sehingga hari ini, 338 individu telah disaring dengan empat kes dikesan positif wabak itu, 173 individu lagi negatif dan 160 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Kluster Harmoni dikesan di Putrajaya hasil saringan tempat kerja pada 7 November lalu. Beliau berkata individu terlibat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan saringan kontak rapat telah mengesan lima lagi kes positif manakala 28 individu negatif dan 17 individu masih menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa Kluster Bah Perdana di Putrajaya diisytiharkan tamat hari ini dan tiada kematian dilaporkan bagi kedua-dua kluster itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihatkan masyarakat India yang akan menyambut perayaan Deepavali Sabtu ini supaya tidak melakukan pembelian panik bagi mengelakkan risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, pembelian panik hanya akan menyebabkan kesesakan di lokasi tumpuan membeli-belah, sekali gus memudahkan jangkitan berlaku.

"Bila kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sektor ekonomi masih dibuka, kedai masih dibuka, jadi tidak perlu kita melakukan pembelian panik," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesesakan di beberapa lokasi tumpuan membeli persiapan sambutan Deepavali di Lembah Klang yang menimbulkan kebimbangan muncul kluster Deepavali.

Dr Noor Hisham meminta orang ramai supaya membataskan pergerakan dan mengelakkan perhimpunan ramai serta merancang pembelian sepanjang PKPB bagi membantu meratakan lengkung jangkitan Covid-19. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!