Kerajaan Sabah cadang lanjutkan PKPB

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah bercadang untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bakal tamat pada Isnin depan.

Bagaimanapun, cadangan itu perlu diperhalusi dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan akan dikemukakan untuk dipertimbangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Pengurusan Koronavirus (Covid-19) esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, cadangan untuk melanjutkan PKPB berikutan kes Covid-19 di Sabah yang masih tinggi.

"Memandangkan kes positif Covid-19 masih tinggi di Sabah, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh PKPB yang berakhir pada Isnin depan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri masih perlu mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenai perkara ini," katanya pada sidang akhbar di Wisma Innoprise, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jika tempoh PKPB dilanjutkan, kerajaan negeri juga turut memperhalusi cadangan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP).

"Bagi mengurangkan impak terhadap sektor ekonomi dalam negeri berikutan pelaksanaan cadangan itu, kerajaan negeri juga sedang memperhalusi cadangan untuk melonggarkan SOP PKPB di Seluruh Sabah.

"Khususnya berkaitan dengan sektor-sektor yang berkenaan seperti makan di dalam di restoran, perkhidmatan perhotelan, penetapan kapasiti penumpang perkhidmatan bas henti-henti dalam daerah, aktiviti riadah dan sukan yang tidak bersentuhan secara fizikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Masidi turut memaklumkan, Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan Kluster Penjara Sandakan menjadi penyumbang kepada kes positif Covid-19 Sabah sehingga mencatat kes tertinggi hari ini sejak penularan wabak itu awal tahun ini.

Katanya, sebanyak 1,199 kes Covid-19 dicatat di Sabah hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 19,282 kes

"Daripada jumlah kes hari ini, sebanyak 556 kes adalah berpunca dari Kluster PTS Tawau (372 kes) dan Kluster Penjara Sandakan (184) manakala selebihnya iaitu 643 kes adalah daripada lain-lain kategori.

"Selain itu terdapat kluster baharu yang dikenal pasti hari ini di Keningau yang berpunca daripada majlis kenduri arwah iaitu Kluster Mempulut yang mencatatkan 28 kes.

"Seperti saya nyatakan sebelum ini, jangkitan komuniti membabitkan perhimpunan dan kluster di Keningau ini adalah disebabkan kenduri yang diadakan dan menyebabkan komuniti dijangkiti virus Covid-19," katanya.