Gugusan Manjoi perlu balai polis baharu

Asmuni (tiga, kiri) bersama wakil agensi melihat pelan pembangunan Klinik Kesihatan Manjoi ketika lawatan berkenaan.
Asmuni (tiga, kiri) bersama wakil agensi melihat pelan pembangunan Klinik Kesihatan Manjoi ketika lawatan berkenaan.
A
A
A

IPOH - Gugusan Manjoi memerlukan balai polis baharu memandangkan balai polis sedia ada tidak mampu lagi menampung keperluan penduduk sedia ada.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, keperluan tersebut sangat mendesak memandangkan jumlah penduduk semakin bertambah dan Balai Polis Manjoi sedia ada merupakan sebuah rumah yang disewa.

Menurutnya, bukan itu sahaja jumlah kekuatan anggota juga tidak mencukupi untuk menjaga kawasan Manjoi yang luas.

"Di Kampung Manjoi ini, kita ada tidak kurang daripada 30,000 penduduk, malah ada penduduk terpaksa berurusan di Balai Polis Ipoh dan Balai Polis Jelapang jika sesuatu laporan nak dibuat.

"Kita sedang mengenalpasti lokasi sesuai di kampung ini untuk kita bina balai polis baharu kerana balai sedia ada difahamkan menyewa rumah kediaman," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi yang baharu di Lot 44184, Kampung Manjoi, di sini.

Menurutnya, keadaan balai polis sedia ada sangat tidak selesa kepada penduduk dan anggota yang bertugas.

Asmuni yang juga Adun Manjoi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Ipoh bagi membincangkan perkara tersebut selain mencari jalan terbaik untuk memastikan pembinaan balai polis baharu dapat direalisasikan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengenai pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi, beliau berkata, secara dasarnya pembinaan bangunan baharu itu berjalan lancar tanpa sebarang halangan.

Katanya, walaupun berlaku sedikit kelewatan dari segi perkembangan projek, ia dijangka dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu pada 2 Mac 2020.