Exco, wakil rakyat Kelantan dijangka naik gaji

Mohd Amar Abdullah
Mohd Amar Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Sekiranya diluluskan dalam Belanjawan Kelantan 2021, Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat di negeri ini akan menikmati kenaikan gaji pokok sekitar RM3,000 hingga RM5,000.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, cadangan penyelarasan dan kenaikan berkenaan dilihat wajar memandangkan terdapat perbezaan gaji yang agak ketara dengan negeri-negeri lain.

Beliau berkata, pada Persidangan Belanjawan Kelantan 2021 kali ini, kerajaan negeri Kelantan dijangka membentangkan rang undang-undang untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri 1980 bagi membolehkan kenaikan dan penyelarasan gaji diluluskan.

“Jadi, untuk merapatkan perbezaan ini tidak semestinya sama tetapi (biarlah) tidak ada perbezaan yang besar antara kita dengan negeri lain. Sebab itu ada cadangan supaya kita selaraskan.

“Saya akan sebut dalam pembentangan. Ini berkaitan dengan keadaan semasa sebab tanggungjawab wakil rakyat semakin berat.

"Dalam keadaan pada hari ini sekiranya ada kenaikan sekalipun kepada wakil rakyat ia akan turut pergi (dinikmati) oleh rakyat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya selepas Sidang DUN Kelantan Kali Ke-14 di sini hari ini.

Menjelaskan lanjut kewajaran perkara tersebut, Mohd Amar berkata, tanggungjawab sebagai wakil rakyat di negeri ini boleh diibaratkan sebagai pegawai kebajikan memandangkan ramai rakyat memerlukan perhatian apatah lagi kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Siapa yang menjadi wakil rakyat dia akan tahu. Orang datang rumah, jadi kena ada duit. Kalau tidak ada duit, dia (wakil rakyat) nak tolong orang macam mana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, cadangan kenaikan gaji berkenaan tidaklah begitu tinggi dan bukannya terlalu rendah.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar juga mengakui Belanjawan Kelantan 2021 defisit sebagai langkah penjimatan dan mahu memastikan kerajaan tidak berbelanja secara berlebihan dan mengikut kemampuan yang ada.

“Kalau dalam tempoh itu ada hasil yang baharu, alhamdulillah," katanya.

Hari ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan bahawa Belanjawan Kelantan 2021 menyaksikan belanjawan defisit yang dijangka berjumlah RM66.02 juta iaitu peningkatan sebanyak RM19.95 juta berbanding belanjawan 2020 yang berjumlah RM46.07 juta.