Pekerja kilang hilang pergelangan tangan

Tangkap layar Facebook Top Glove Corporation Bhd semalam berhubung insiden berkenaan.
Tangkap layar Facebook Top Glove Corporation Bhd semalam berhubung insiden berkenaan.
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja pengeluaran sebuah kilang di sini hilang pergelangan tangan selepas terperangkap dalam sebuah mesin pada kejadian di kilang Top Glove di Kawasan Perindustrian Tasek, di sini semalam.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang dimaklumkan kejadian itu berlaku sekitar jam 5.45 pagi membabitkan pekerja warga asing.

Setiausaha MTUC Pulau Pinang, K Veeriah berkata, daripada maklumat diterima, tangan pekerja terbabit terperangkap dalam tangki berus pencuci sarung tangan yang sedang berputar menyebabkan pergelangan tangannya terputus.

"Melihat kepada keseriusan insiden ini, kita berpendapat satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

"Siasatan ini penting bagi memastikan syarikat terlibat telah melaksanakan tugasnya dalam aspek pematuhan piawaian keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Menurutnya, bagi operasi kerja yang berbahaya seperti itu, syarikat perlulah memasang sistem amaran seperti suis pengasingan deria sebagai langkah berjaga-jaga mengelak kemalangan berlaku.

Tangkap layar Facebook MTUC Pulau Pinang semalam berhubung insiden berkenaan.
Tangkap layar Facebook MTUC Pulau Pinang semalam berhubung insiden berkenaan.

"Bagi kami, kemalangan industri ini kebiasaannya berlaku disebabkan kelalaian dalam menyediakan sistem kerja yang selamat.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya sistem pengasingan deria berfungsi, kes-kes kemalangan melibatkan kehilangan anggota badan mungkin dapat dielakkan," katanya.

Dalam pada itu, Top Glove Corporation Bhd dalam hantaran di Facebook rasmi semalam mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa pekerja terbabit telah dikejarkan ke hospital dan kini berada dalam keadaan stabil.

Dalam mematuhi polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan, syarikat itu berkata, mereka telah menetapkan langkah yang wajar bagi memastikan pekerjanya selamat daripada bahaya dan kecederaan.

"Top Glove meyakinkan pihak berkepentingan dan orang ramai bahawa keselamatan dan kebajikan pekerja adalah menjadi keutamaan kami selalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung kes itu.

"Polis dimaklumkan bahawa pihak syarikat akan menjalankan siasatan dalaman mengenai kes itu," katanya.

Sinar Harian dimaklumkan, kejadian itu kini dalam siasatan JKKP Perak dan satu kenyataan berhubung siasatan berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.