Tiga lelaki ditahan bantu kes tikam pekerja kilang perabot

Tiga lelaki termasuk warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh melibatkan seorang lelaki warga Myanmar berusia 33 tahun dalam kejadian, awal pagi Sabtu lalu. - Gambar hiasan
Tiga lelaki termasuk warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh melibatkan seorang lelaki warga Myanmar berusia 33 tahun dalam kejadian, awal pagi Sabtu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KEPALA BATAS - Tiga lelaki termasuk warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh melibatkan seorang lelaki warga Myanmar berusia 33 tahun dalam kejadian, awal pagi Sabtu lalu.

Mangsa yang juga pekerja kilang perabot maut selepas ditikam oleh rakan senegaranya dalam satu pergaduhan pada hari berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, ketiga-tiga suspek merupakan majikan dan rakan sekerja mangsa ditahan secara berasingan antara jam 10 malam Sabtu hingga 2 pagi Ahad.

Menurutnya, mereka berusia lingkungan 28 hingga 40 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mereka ditahan secara berasingan di sekitar Butterworth dan Permatang Pauh untuk membantu siasatan kes ini.

"Kita turut merampas dua telefon bimbit, sebilah pisau, dua botol minuman keras dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Mohd Asri berkata, polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) berhubung seorang lelaki warga asing yang mengalami kecederaan kritikal di bahagian perut.

"Pegawai perubatan itu telah memberi rawatan kepada mangsa namun lelaki tersebut gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.03 pagi.

"Hasil proses bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan luka tikaman pada abdomen akibat ditikam," katanya.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati, punca pergaduhan adalah kerana mabuk selepas mangsa dan suspek minum bersama-sama.

"Mangsa dan suspek sedang minum sehingga mabuk lalu berlaku pertengkaran mulut yang kemudiannya membawa kepada kejadian tikam.

"Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek, salah seorang daripada mereka iaitu rakan sekerja mangsa mengaku mencederakan lelaki itu sebelum suspek melarikan diri lalu bersembunyi," katanya.

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian itu agar tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04-5759122.