Kerjasama Perak Tengah–Selatan Thailand iktiraf kepakaran anak tempatan di peringkat antarabangsa - Exco

Nordin (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Mohammad Nizar (kanan) disertai Mustaffa Kamil sempena Majlis Makan Malam Mesyuarat Strategik Rangka Kerja Kerjasama Pembangunan antara SBPAC dan Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah di Ipoh pada Selasa.
Nordin (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Mohammad Nizar (kanan) disertai Mustaffa Kamil sempena Majlis Makan Malam Mesyuarat Strategik Rangka Kerja Kerjasama Pembangunan antara SBPAC dan Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH – Kerjasama strategik antara Daerah Perak Tengah dan Wilayah Sempadan Selatan Thailand membuktikan kepakaran anak Perak kini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa khususnya dalam pembangunan komuniti dan keusahawanan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pengiktirafan itu jelas apabila model pembangunan komuniti yang dilaksanakan di Kampung Pulau Tiga, Perak Tengah diterima dan ingin dicontohi oleh rakan dari Selatan Thailand.

Menurutnya, program yang digerakkan Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah berjaya menarik perhatian Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC) selepas mereka melihat sendiri kesan dan hasil pembangunan yang dilaksanakan.

"Apabila Duta Besar Thailand ke Malaysia sendiri hadir dan turun ke Pulau Tiga, itu satu pengiktirafan bahawa apa yang dibuat bukan sekadar cakap-cakap, tetapi hasilnya boleh dilihat.

"Mereka nampak pembangunan usahawan, teknologi yang digunakan dan bagaimana anak-anak kampung berjaya keluar daripada kemiskinan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Makan Malam Mesyuarat Strategik Rangka Kerja Kerjasama Pembangunan antara SBPAC dan Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Selasa.

Mohammad Nizar (duduk, dua dari kanan) dan Nordin (duduk, kanan) bersama usahawan serta delegasi Selatan Thai sempena Majlis Makan Malam Mesyuarat Strategik Rangka Kerja Kerjasama Pembangunan antara SBPAC dan Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah di Ipoh pada Selasa.
Mohammad Nizar (duduk, dua dari kanan) dan Nordin (duduk, kanan) bersama usahawan serta delegasi Selatan Thai sempena Majlis Makan Malam Mesyuarat Strategik Rangka Kerja Kerjasama Pembangunan antara SBPAC dan Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah di Ipoh pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Agung SBPAC, Piyasiri Wattanavarangkul dan Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Nizar berkata, kerjasama rentas sempadan berkenaan turut merangkumi bidang pendidikan termasuk potensi gabungan institusi tahfiz di Perak dan Selatan Thailand dengan penerapan kemahiran moden seperti teknologi maklumat (IT), Internet of Things (IoT) dan Digital Twin.

"Gabungan tahfiz ini belum pernah dibuat sebelum ini dan saya yakin ia mampu melahirkan huffaz yang bukan sahaja mahir dalam agama, tetapi juga berkemahiran tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, kerjasama itu disifatkan sebagai permulaan penting selepas hampir 10 tahun menjalin hubungan dengan wilayah selatan negara jiran itu dan beberapa sektor utama akan diberikan tumpuan.

Menurutnya, antara fokus kerjasama adalah pembangunan pendidikan pelajar pondok di Selatan Thailand dengan pendedahan kemahiran baharu, pembangunan produk halal, pertanian serta pelancongan pendidikan.

"Mereka memperakui keupayaan IGROW (Institut Agro dan Keusahawanan) dalam membangunkan golongan miskin tegar sehingga menyatakan tidak perlu menunggu memorandum persefahaman (MoU), sebaliknya terus melaksanakan kerjasama.

"Ini menunjukkan mereka memandang tinggi kelebihan yang ada pada kita," katanya yang juga Pengerusi Eksekutif IGROW.

Bagaimanapun, beliau berharap sokongan penuh diberikan oleh Kerajaan Perak dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kerjasama itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.

Katanya, untuk itu kapasiti dari segi kemudahan, kepakaran, bajet dan generasi pelapis perlu ditingkatkan kerana kerjasama ekonomi wilayah sempadan Malaysia–Thailand ini adalah peluang besar yang wajar direbut.

Ringkasan AI

  • Kerjasama antara Daerah Perak Tengah dan Wilayah Sempadan Selatan Thailand dalam pembangunan komuniti dan keusahawanan mendapat pengiktirafan antarabangsa
  • Model pembangunan komuniti di Kampung Pulau Tiga, Perak Tengah dijadikan contoh oleh rakan dari Selatan Thailand
  • Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC) tertarik dengan hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah
  • Kerjasama ini merangkumi bidang pendidikan termasuk gabungan institusi tahfiz di Perak dan Selatan Thailand dengan penerapan kemahiran moden
  • Antara fokus kerjasama adalah pembangunan pendidikan, produk halal, pertanian, dan pelancongan pendidikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!