X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Kampung Haji Baki, Sarawak bermula esok

Amar Douglas Uggah Embas
A
A

KUCHING - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan dilaksana di Kampung Haji Baki di sini bermula esok pada jam 6 petang sehingga 11 November ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau berkata, PKPD itu perlu dilakukan setelah terdapat 25 kes positif Covid-19 dari kampung berkenaan yang mula dikesan sejak 18 Oktober lalu.

“Semenjak kes indeks kluster tersebut dilaporkan, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah melakukan penjejakan kontak dan pengesanan kes aktif (ACD) pada 25 Oktober 2020. Di kalangan 25 kes tersebut, ia melibatkan ahli keluarga terdekat kes indeks, jiran terdekat, pelajar sekolah rendah dan menengah serta pekerja kesihatan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Sarawak berkata, PKPD itu akan melibatkan sejumlah 530 rumah dengan penduduk kira-kira 4,200 orang merangkumi penduduk Kampung Haji Baki Blok A, B dan C.

“Semua surau, masjid, rumah ibadat lain dan sekolah dalam kawasan PKPD ditutup sepanjang tempoh ini dan semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi.

Menurut Uggah, aktiviti keagamaan, sosial, rekreasi, budaya dan sukan adalah tidak dibenarkan dan KKM juga akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat, manakala bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangan insiden melibatkan kapal MV Dayang Topaz, yang merempuh sebuah pelantar minyak di perairan Kuala Baram di Miri awal padi tadi, beliau berkata, JPBN Bahagian Miri telah diarahkan untuk melakukan saringan Covid-19 serta kuarantin 14 hari terhadap kru yang terlibat.

“Kami tidak dapat pastikan sama ada mereka telah melawat Sabah atau tidak sebelum ini. Ia bukan untuk menyusahkan tetapi adalah langkah-langkah yang kami tetapkan untuk menangani penularan wabak Covid-19 kerana 60 peratus kes positif yang terdapat di Sarawak ini ialah merupakan kes import,” tambahnya.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang terlibat merangkumi 185 kru warganegara Malaysia dan dua kru warganegara Indonesia iaitu kapten kapal dan Chief Officer berusia 21 hingga 63 tahun.

Kapal MV Dayang Topaz yang disewa oleh pihak Petronas Carigali dilaporkan mengalami kerosakan ketika kejadian, telah diiringi balik ke Pelabuhan Miri. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, empat hilang kapal karam

Empat kru kapal Dayang Topaz hilang, dijumpai

Mangsa insiden kapal Dayang Topaz dibawa ke Pelabuhan Miri


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!